KANAK-KANAK Bajau bersama tangkapan gamat.
KANAK-KANAK Bajau bersama tangkapan gamat.
KARANG favia spp.
KARANG favia spp.
PENULIS bersama  (dari kiri) Sulaiman, Aidi dan Abdul Rahman di karang cetek Tebah Batang.
PENULIS bersama (dari kiri) Sulaiman, Aidi dan Abdul Rahman di karang cetek Tebah Batang.
Teks dan gambar Mohamed Semail

Lebih 10 hektar kawasan pembiakan semula jadi terumbu karang muncul bagaikan padang bola jadian di Tebah Batang, Lahad Datu berikutan air surut besar yang melanda setiap bulan.

Kemunculannya bagaikan misteri berikutan terbentuknya landskap baru di situ. Ia menjadi fenomena menarik khusus kepada penggemar fotografi.

Malah, ia juga berpotensi sebagai tapak kajian hidupan marin berikutan kawasan berkenaan terlindung daripada arus deras serta laut bergelora.

Hamparan padang itu turut menjadi medan mencari rezeki bagi kaum Bajau yang banyak mendiami kawasan berkenaan.

Ini berikutan banyak hidupan marin seperti gamat, abalon, spesies buntal, gamat ular dan tapak sulaiman atau starfish (protoreastar nodosus) yang terperangkap di lopak cetek apabila air surut.

Paling menarik, terdapat juga tapak sulaiman biru (linkia laevigata) atau kaling-kaling bilu dalam bahasa Bajau yang mampu menarik perhatian pengunjung.

Menurut Abdul Rahman Firdaus, 18, antara belia suku Bajau Laut di situ, berkata kawasan itu menjadi tumpuan utama penduduk setempat mencari rezeki.

Jelasnya, bila air surut ramai penduduk akan keluar mencari siput dan ikan untuk dijadikan lauk.

“Banyak hidupan laut yang terperangkap bila air surut. Antara yang paling banyak ialah siput kahangar, gamat, abalon dan juga ikan buntal.

“Kahangar atau siput berduri (lambis lambis) ialah siput bercengkerang keras yang banyak terdapat di sini.

“Ceng­kerangnya sangat keras dan terpaksa dipecahkan menggunakan pemukul untuk mengambil isinya.

“Isinya berwarna-warni dan amat menarik. Ia perlu dibersih­kan dulu dengan membuang perut serta pasir sebelum dimasak sup atau goreng,” katanya.

Kedudukan geografi Tebah Batang di teluk di Kampung Membatu, Lahad Datu amat menarik sebagai destinasi pelancongan yang selamat dikunjungi.

Ia terlindung daripada sebarang pencemaran, pembangunan serta ba­nyak terdapat khazanah hidupan air yang terpelihara tanpa gangguan.

Sumber perikanannya masih banyak dan terlindung daripada aktiviti menangkap ikan terutama pencerobohan oleh bot pukat tunda atau pukat jerut.

Ini berikutan keadaan air di situ cetek serta ba­nyak batu karang sekali gus menghalang sebarang aktiviti menangkap ikan.

Justeru, ia menjadi kawasan pembiakan semula jadi sumber perikanan marin utama termasuk ikan dan juga kerang-kerangan.

Pegawai Perikanan Sabah Aidi Sapri berkata, situasi itu mampu menjadi tarikan utama pelancong, malah sebagai syurga jurufoto, terutama jurufoto landskap.

Menurutnya, sewaktu air kering, banyak bongkah batu karang timbul dan kebanyakannya dari spesies berbagai karang seperti galaxea fascicularis, plerogyra sinuosa, catalaphyllia jardinei dan nemenzophyllia turbida.

Selain itu, jelasnya ia berpotensi dijadikan sebagai tapak kajian rumpai laut, batu karang serta hidupan marin.

Menurut Aidi, saintis tidak perlu menyelam ke dasar laut untuk mencari bahan kajian memadai dengan menunggu waktu air surut kerana semuanya terserlah di depan mata.

“Paling menarik, di sini juga terdapat banyak rumput laut tumbuh segar yang menjadi makanan utama dugong.

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada penduduk tempatan, mereka sering kali terserempak dengan dugong di sini. Ia boleh dilihat dengan jelas berikutan airnya jernih,” katanya.

Jurufoto dari Kuantan, Pahang, Baharudin Yusof berkata, persekitaran di situ masih dalam keadaan asal kerana keindahan alamnya terpelihara daripada pembangunan.

Katanya, aset paling menarik ialah terdapatnya lebih 20 rumah kaum Bajau Laut yang tinggal di situ yang mampu menarik jurufoto.

“Keadaan rumah mereka memang unik. Bertiang bulat, manakala atap dan dindingnya diperbuat dari daun kelapa yang dianyam.

“Mereka juga mesra tetamu dan senang didekati. Kebanyakan mereka menangkap ikan menggunakan jaring untuk sara diri,” katanya.

Jurufoto dari Terengganu, Sulaiman Abas berkata, Tebah Batang perlu dilindungi daripada sebarang pencemaran pengaruh luar atau pembangunan yang merosakkan alam sekitar.

“Keindahan alam semula jadinya mampu menggamit pelancong dari luar untuk datang merakam foto di situ.

“Jabatan terbabit perlu mewartakan kawasan berkenaan sebagai kawasan larangan menangkap ikan.

“Ia bertujuan mewujud­kan kawasan perlindungan bagi hidupan marin membiak dengan sempurna serta bebas daripada gangguan pencerobohan kemusnahan habitat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 12:46 PM