Tukun konkrit diletakkan di perairan Pulau Besar, Umbai. FOTO HASSAN OMAR
Tukun konkrit diletakkan di perairan Pulau Besar, Umbai. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Melaka: Sebanyak 15 tukun konkrit bernilai RM300,000 dipasang Jabatan Perikanan negeri di perairan Pulau Besar, Umbai dekat sini hari ini bagi membantu pembiakan sumber ikan dan haiwan marin lain.

Ia sejajar fungsi Pulau Besar yang sudah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap hidupan marin.

Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata, ia penting bagi membantu menggalakkan pembiakan ikan dan sumber marin yang jika tidak dipulihara, akan pupus akibat pelbagai faktor, terutama yang berpunca daripada penangkapan ikan di kawasan larangan.

"Peletakan tukun adalah satu daripada kaedah menambah tempat pembiakan ikan kerana ia berfungsi sebagai perumah untuk ikan dan sumber marin membiak serta berkumpul.

"Sumber perikanan itu akan berhijrah ke perairan lain dan ia mampu meningkatkan jumlah tangkapan ikan nelayan di perairan yang dibenarkan," katanya.

Kerja meletakkan tukun itu dilaksanakan syarikat kontraktor yang menyediakan ponton untuk mengangkut tukun dan jentera pengangkat serta bot tunda ponton.

Mohd Fauzi berkata, Jabatan Perikanan bercadang meletakkan lebih banyak tukun bukan setakat di perairan Pulau Besar, malah pulau lain yang dikenal pasti tiada aktiviti penangkapan ikan.

Pulau Besar dan Pulau Undan, kira-kira dua batu nautika dari Umbai dicadangkan untuk dinaik taraf sebagai Taman Laut berdasarkan kekayaan terumbu karang dan sumber perikanan, katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya Pulau Besar sudah diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan mengikut Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 yang mencegah aktiviti menangkap ikan manakala Pulau Undan masih belum diwartakan mengikut undang-undang berkenaan.

"Apabila diwartakan sebagai Taman Laut, segala aktiviti menangkap ikan dan mengambil, memindahkan serta memusnahkan batu karang di perairan satu batu nautika kedua-dua pulau berkenaan dilarang sama sekali.

"Kajian mengenainya sudah beberapa kali dilakukan, termasuk ekspedisi mengenal pasti jenis batu karang dan ikan di sekitar kedua-dua pulau berkenaan sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Gugusan Pulau Besar ada sembilan pulau, iaitu Pulau Besar, Hantu, Serimbun, Lalang, Dodol, Nangka, Hanyut, Burung dan Undan tetapi hanya Pulau Besar diwartakan mengikut peraturan itu dan sesiapa menangkap ikan di perairan satu batu nautika boleh didakwa mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985.

Menurut Mohd Fauzi, berdasarkan peraturan untuk menjadikan Taman Laut, perairan dua batu nautika diwartakan sebagai kawasan larangan aktiviti menangkap ikan dan mengambil batu karang tetapi bagi Pulau Besar dan Pulau Undan, jabatan itu mencadangkan hanya satu batu nautika selepas mengambil kira kepentingan nelayan untuk mencari rezeki.

"Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, terdapat aktiviti menangkap ikan secara berlebihan di perairan Pulau Besar menyebabkan kerosakan batu karang, selain menghalang pertumbuhan karang secara semula jadi.

"Berdasarkan kajian Jabatan Perikanan sejak pertengahan 2018, ada 81 spesies karang keras di perairan Melaka, khususnya di gugusan pulau itu dengan lima daripadanya spesies karang yang menghadapi risiko mengalami kepupusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 10:45 AM