IKAN mati terdampar di tebing sungai di Chibayish, wilayah Dhi Qar di selatan Iraq. FOTO AFP
IKAN mati terdampar di tebing sungai di Chibayish, wilayah Dhi Qar di selatan Iraq. FOTO AFP
AFP

Baghdad: Ribuan ikan mati dihanyutkan ke pantai di tenggara Iraq, baru-baru ini, menyebabkan siasatan rasmi terhadap bencana hidupan liar itu yang mungkin dikaitkan dengan kemarau.

Jurugambar Agence France-Presse (AFP) melihat ribuan ikan kecil dihanyutkan di tebing Sungai Amshan di Majar al-Kabir, sebuah kawasan di wilayah Maysan yang bersempadan dengan Iran.

Wilayah itu adalah habitat kepada hidupan laut di Sungai Tigris, yang sudah mengalami kesan pemanasan global.

Menurut agensi berita INA, Kementerian Pertanian Iraq pada Ahad mengumumkan membentuk jawatankuasa untuk meneliti punca kematian ikan.

Sementara itu, aktivis alam sekitar Ahmed Saleh Neema berkata, peningkatan suhu yang membawa kepada peningkatan sejatan, ditambah dengan aliran air yang berkurangan menyumbang kepada kekurangan oksigen dan kemasinan yang tinggi di sungai.

Iraq yang gersang sebahagian besarnya disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu daripada lima negara di dunia paling terjejas oleh beberapa kesan perubahan iklim.

Hujan yang berkurangan sejak empat tahun lalu serta empangan di hulu mengurangkan air Sungai Tigris dan Sungai Euphrates.

Pegawai wilayah Maysan, Khodr Abbas Salman yang mengawasi kawasan untuk Kementerian Alam Sekitar Iraq memberitahu AFP, hasil analisis rupa bumi yang dijalankan mendapati oksigen (di dalam air) adalah sifar, di samping peningkatan paras kemasinan.

Dia mengikuti misi pada Isnin untuk memeriksa kematian ikan itu sambil menyatakan bahawa perairan Amshan adalah habitat kepada sembilan spesies ikan.

"Sampel daripada kedua-dua ikan dan air akan dianalisis untuk menentukan sama ada terdapat bahan kimia di dalamnya.

"Paras kemasinan yang tinggi mungkin cukup untuk menyebabkan kerosakan yang besar.

"Air itu tidak boleh lagi digunakan untuk pertanian. Ia akan merosakkan tanah jika petani menggunakannya untuk pengairan," kata Salman.

Berikutan itu, Salman turut memberi amaran risiko pencemaran di dalam air dan tanah di sekitarnya memandangkan jumlah ikan mati yang banyak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 11:17 AM