ANGKASAWAN SpaceX. FOTO AFP
ANGKASAWAN SpaceX. FOTO AFP
Agensi

Washington: Tidak semua pengembaraan angkasa lepas menyeronokkan dan buktinya, angkasawan SpaceX yang meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad terpaksa memakai lampin pakai buang sewaktu perjalanan pulang ke bumi kerana kerosakan tandas dalam kapsul Dragon.

Kapsul berkenaan digunakan oleh angkasawan berkenaan untuk pulang ke bumi.

New York Post melaporkan Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Megan McArthur berkata, kru berupaya menggunakan lampin pakai buang untuk perjalanan pulang yang mengambil masa 20 jam.

"Penerbangan angkasa penuh dengan cabaran kecil.

"Ini hanya salah satu (cabaran) daripadanya dan akan diuruskan dalam misi kami. Jadi, kami tidak terlalu bimbang mengenainya," katanya pada sidang media dari angkasa lepas.

Angkasawan menemukan kebocoran pada tandas selepas menarik panel lantai pada kapsul.

Masalah itu mula berlaku sewaktu penerbangan peribadi SpaceX pada September lalu.

Jurutera mendapati masalah itu tidak memberi kesan kepada kapsul dan selamat untuk perjalanan balik.

Bagaimanapun, Nasa dalam kenyataannya memaklumkan daripada menggunakan tandas, angkasawan akan memakai lampin.

Pengurus misi memutuskan untuk membawa McArthur dan kru lain yang berada di ISS selama enam bulan untuk pulang ke bumi.

Keputusan itu selepas beberapa siri mesyuarat pada hari Jumaat.

Pengganti mereka tidak diumumkan lagi dan misi itu ditangguhkan untuk seminggu kerana keadaan cuaca buruk dan isu perubatan membabitkan anak kapal.

Sasarannya adalah pada malam Rabu.

Turut pulang bersama McArthur adalah angkasawan dari Perancis, Thomas Pesquet, Shane Kimbrough (angkasawan Nasa) dan Akihiko Hoshides (angkasawan Jepun).

Sementara itu, seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan dua Rusia akan kekal di stesen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:40 AM