KRISTEL Candelario. FOTO AFP
KRISTEL Candelario. FOTO AFP
Agensi

Washington: Mengejutkan apabila seorang ibu di Ohio, Amerika Syarikat (AS), meninggalkan bayi perempuan berusia 16 bulan berseorangan di rumah untuk bercuti selama 10 hari, sehingga mangsa meninggal dunia kerana kelaparan.

Akibat kecuaiannya itu, Kristel Candelario, 32, mungkin menghabiskan sisa hidupnya di penjara apabila dihukum penjara seumur hayat oleh mahkamah dekat Cleveland, pada Isnin lalu.

The Guardian melaporkan, Candelario, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh Jailyn dan membahayakan bayi berkenaan.

Hakim yang mendengar kes itu, Brendan Sheehan berkata, perjalanan ke luar negeri dengan meninggalkan bayi sendirian tanpa makanan adalah pengkhianatan, dan tertuduh wajar menerima hukuman undang-undang paling keras.

"Sama seperti kamu tidak membenarkan Jailyn keluar dari kurungannya, begitu juga kamu harus menghabiskan sisa hidup di dalam sel (penjara) tanpa kebebasan," katanya ketika menjatuhkan hukuman kepada Candelario.

Candelario pula memberitahu Sheehan bahawa setiap hari, dia berdoa untuk memohon keampunan.

"Terlalu banyak kesakitan yang saya alami selepas kehilangan bayi saya, Jailyn.

"Saya sangat terluka dengan semua yang berlaku. Saya tidak cuba untuk membenarkan tindakan saya, tetapi tiada siapa yang tahu betapa saya menderita dan apa yang saya alami," kata Candelario, yang dilaporkan bergelut dengan kemurungan dan masalah kesihatan mental.

Pendakwa raya mendakwa Candelario pergi bercuti ke Detroit dan Puerto Rico bermula 6 Jun dengan meninggalkan Jailyn di dalam 'playpen' di rumah mereka di pinggir kejiranan West Boulevard, Cleveland.

Beberapa hari kemudian, New York Post melaporkan, Candelario memuat naik gambar menunjukkan dia tersenyum, berkaki ayam dan berpakaian mandi di pantai di media sosial

Candelario tidak pulang ke rumah sehingga kira-kira 8 pagi pada 16 Jun sebelum mendapati Jailyn tidak bertindak balas di atas pelapik di dalam 'playpen', yang kotor dengan air kencing dan najis.

Wanita itu menghubungi talian 911 bagi dan pasukan kecemasan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan Jailyn mengalami dehidrasi sebelum mengesahkan kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat mendapati Jailyn meninggal dunia akibat kebuluran dan dehidrasi teruk.

Pihak berkuasa mendakwa Candelario dengan pertuduhan membunuh dan pendakwa raya menunjukkan bahawa mahkamah berhak untuk meneruskan hukuman mati terhadapnya.

Bagaimanapun, Candelario mengaku bersalah pada 22 Februari lalu sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyebabkan dia menghadapi hukuman maksimum penjara seumur hayat tanpa parol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 11:37 AM