FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Seoul: Pasangan suami isteri di Korea Selatan ditahan selepas dituduh menyembunyikan bayi mereka yang mati di dalam bekas plastik kimchi selama tiga tahun.

Polis di Pocheon, wilayah Gyeonggi sedang menyiasat ibu bapa bayi berusia 15 bulan itu yang mayatnya disimpan dalam bekas berukuran 35 sentimeter (sm) panjang, 24 sm lebar dan 17 sm tinggi, selama tiga tahun selepas disahkan mati.

Akhbar Korea Herald melaporkan, ibu bayi berusia 34 tahun itu disyaki meninggalkan bayi itu hingga mati di rumah pasangan itu, manakala bapanya, 29, berada dalam penjara.

Selepas bayi itu meninggal dunia, dia didakwa menyimpan mayat di rumah, namun apabila bapanya dibebaskan dari penjara, lelaki itu memindahkan mayat ke rumah ibu bapanya.

Tidak jelas mengapa lelaki itu berada di penjara ketika itu.

Identiti pasangan itu belum didedahkan oleh pihak berkuasa.

Bapa bayi itu didakwa memasukkan mayat ke dalam bekas plastik yang digunakan untuk menyimpan kimchi dan menyembunyikannya di atas bumbung rumah ibu bapanya.

Polis mendapati bayi itu tidak didaftarkan pada mana-mana senarai prasekolah dan tidak menerima pemeriksaan doktor.

Di Korea Selatan, ibu bapa mendaftarkan bayi mereka di sekolah secepat mungkin bagi mengelakkan terlepas tempat dalam sistem kemasukan ke sekolah yang sangat kompetitif di negara itu.

Pihak berkuasa bandar melaporkan ibu itu hilang pada 27 Oktober selepas gagal dihubungi.

Tetapi tiga hari kemudian pada 30 Oktober, polis menahan wanita itu kerana disyaki melanggar undang-undang kebajikan kanak-kanak.

Ketika disoal siasat oleh polis, ibu berusia 34 tahun itu menafikan anak perempuannya meninggal dunia.

Sebaliknya, dia mendakwa meninggalkan bayinya di jalan.

Tetapi dalam temu bual berikutnya, pegawai polis berkata, dia mengaku menyembunyikan mayat kanak-kanak itu bersama suaminya.

Polis mengesyaki bayi itu mati semasa bapanya berada di penjara dan, selepas dibebaskan, pasangan itu menyembunyikan bekas itu di atas bumbung ibu bapanya.

Bapa bayi itu ditahan polis pada 16 November, dua hari selepas pegawai menemui bayi itu di dalam kontena, kata laporan Herald.

Polis masih menyiasat bagaimana bayi itu mati dan menilai kemungkinan motif ibu bapa berkenaan.

Jika didapati bersalah melakukan jenayah penderaan kanak-kanak yang membawa maut, ibu bapa boleh dihukum dengan hukuman penjara minimum lima tahun atau penjara seumur hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 2:25 PM