Nota tulisan tangan yang ditulis Lucy Letby. FOTO AFP/ Cheshire Constabulary/handout
Nota tulisan tangan yang ditulis Lucy Letby. FOTO AFP/ Cheshire Constabulary/handout
Lucy Letby ketika ditahan pada 2018. FOTO AFP/ Cheshire Constabulary/handout
Lucy Letby ketika ditahan pada 2018. FOTO AFP/ Cheshire Constabulary/handout
AFP

London: Seorang jururawat Britain didapati bersalah pada Jumaat kerana membunuh tujuh bayi yang baru lahir dan cuba membunuh enam yang lain di unit neonatal hospital tempat dia bekerja, menjadi pembunuh kanak-kanak paling prolifik di United Kingdom.

Lucy Letby, 33, dibicarakan sejak Oktober tahun lalu, dituduh sama ada menyuntik mangsa yang sakit atau pramatang dengan udara, memberi mereka susu berlebihan atau meracuni mereka dengan insulin.

Keluarga mangsa berkata dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan di luar Mahkamah Crown Manchester di utara England berkata: "Keadilan telah dilaksanakan."

Namun mereka memberi amaran: "Keadilan ini tidak akan menghilangkan rasa sakit, kemarahan dan kesusahan yang melampau yang kita semua alami."

Juri berbincang selama 22 hari, mengembalikan keputusan bersalah pertama mereka pada 8 Ogos, yang tidak dapat dilaporkan sehingga Jumaat kerana perintah mahkamah.

Letby menahan air mata di kandang tertuduh selepas keputusan awal dibacakan. Dia tidak berada di mahkamah pada hari Jumaat untuk mendengar penentuan akhir juri.

Malangnya, juru membebaskannya daripada dua pertuduhan, dan tidak dapat membuat keputusan ke atas enam yang lain.

Pendakwa raya meminta 28 hari untuk mempertimbangkan sama ada untuk mendapatkan perbicaraan semula terhadap pertuduhan tersebut.

Letby akan dijatuhkan hukuman pada hari Isnin dan dilaporkan memberitahu peguamnya bahawa dia tidak akan hadir ke mahkamah untuk mendengar nasibnya tetapi dia berdepan prospek tidak akan dibebaskan dari penjara.

Jururawat itu ditahan berikutan beberapa kematian di unit neonatal Hospital Countess of Chester di barat laut England antara Jun 2015 dan Jun 2016.

Disifatkan oleh pihak pendakwaan sebagai wanita licik menggunakan kaedah membunuh yang "tidak meninggalkan banyak kesan".

"Berkali-kali, dia mencederakan bayi, dalam persekitaran yang sepatutnya selamat untuk mereka dan keluarga mereka," kata Pendakwa Raya Kanan Pascale Jones, menggelar pembunuhan itu sebagai pengkhianatan sepenuhnya terhadap kepercayaan yang diberikan kepadanya (Letby).

Mahkamah diberitahu bahawa rakan sekerja menimbulkan kebimbangan selepas menyedari bahawa Letby berada dalam syif apabila setiap bayi mula tidak sihat, dengan beberapa bayi yang baru lahir sakit sebaik ibu bapa mereka meninggalkan katil mereka.

Pihak pendakwaan berkata Letby memberitahu rakan sekerjanya untuk mempercayai bahawa rentetan kematian itu hanya satu nasib malang.

Mangsa terakhir Letby ialah dua bayi lelaki kembar tiga, yang dirujuk di mahkamah sebagai bayi O dan P.

Bayi O meninggal dunia sejurus selepas Letby pulang dari bercuti di Ibiza pada Jun 2016, manakala bayi P meninggal dunia sehari selepas adiknya.

Letby juga dikatakan 'menyerang' seorang lagi bayi lelaki, kanak-kanak Q, tidak lama selepas itu namun juri tidak dapat membuat keputusan atas pertuduhan itu.

Pendakwa raya berkata pada masa itu Letby berada dalam keadaan di luar kawalan, sambil menambah bahawa dia sebenarnya 'berlagak' Tuhan.

"Letby ditangkap dan dibebaskan dua kali. Pada penahanan ketiganya pada 2020, dia secara rasmi didakwa dan ditahan.

Semasa pencarian di rumahnya, polis menemui kertas kerja hospital dan nota tulisan tangan yang ditulis Letby: "Saya jahat, saya melakukan ini."

Letby kemudian cuba menjelaskan nota itu dengan mengatakan dia menulisnya selepas dia diminta melakukan tugas perkeranian berikutan kematian dua kembar tiga.

Peguam bela Ben Myers memberitahu mahkamah Letby adalah seorang yang rajin, sangat komited dan mencintai kerjanya.

Letby juga mendakwa terdapat 'geng empat doktor kanan' yang meletakkan kesalahan kepadanya berikutan kegagalan hospital kerana kematian semua bayi itu.

Apabila dia memberikan keterangan pada perbicaraan, dia menegaskan sentiasa mahu bekerja dengan kanak-kanak dan berkata ia "menghancurkan" untuk mengetahui dia dipersalahkan atas kematian itu.

Polis sedang menyiasat sepanjang tempoh Letby di Countess of Chester dan di Hospital Wanita Liverpool tempat dia juga bekerja sebelum ini, dengan menyaring lebih 4,000 kemasukan unit neo-natal antara 2012 dan 2016.

Pengarah Perubatan di Countess of Chester, Nigel Scawn berkata kes itu mempunyai impak yang mendalam kepada pesakit hospital tetapi perubahan ketara dibuat sejak Letby bekerja di sana.

Kerajaan sementara itu mengumumkan siasatan bebas terhadap kes Letby, dan akan melihat bagaimana kebimbangan oleh doktor ditangani oleh pengurusan hospital.

Setiausaha Kesihatan UK Steve Barclay berkata pihaknya ia akan membantu ibu bapa dan keluarga mangsa mendapatkan jawapan yang mereka perlukan dan membantu mengenal pasti di mana dan bagaimana piawaian keselamatan pesakit gagal dipenuhi.

"Kesnya menghidupkan semula kenangan tentang dua pembunuh perubatan terkenal Britain, doktor Harold Shipman dan jururawat Beverley Allitt.

Shipman menggantung diri di penjara pada 2004, empat tahun selepas disabitkan kesalahan membunuh 15 pesakitnya.

Siasatan awam kemudian menyimpulkan dia membunuh kira-kira 250 pesakit dengan suntikan morfin antara 1971 dan 1998.

Allitt pula seorang jururawat yang digelar "malaikat kematian" - dipenjarakan seumur hidup pada 1993 selepas disabitkan kesalahan membunuh empat kanak-kanak kecil dalam jagaannya, cuba membunuh tiga orang lain dan kesalahan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 8:47 AM