PESAWAT Alaska airlines dilihat di sebuah lapangan terbang di Los Angeles. FOTO fail AFP
PESAWAT Alaska airlines dilihat di sebuah lapangan terbang di Los Angeles. FOTO fail AFP
AFP

Los Angeles: Juruterbang tidak bertugas yang cuba membuat onar dengan menutup enjin pesawat penumpang komersial ketika dalam penerbangan di negara ini, didakwa atas 84 pertuduhan, kata pendakwa raya pada Selasa.

Joseph Emerson berkata, dia mengambil magic mushrooms dan menyangka mengalami gangguan saraf apabila menerjah pemegang yang akan menyebabkan enjin mati ketika penerbangan Alaska Airlines dari Washington ke California, pada Oktober lalu.

Emerson memberitahu polis, dia tidak tidur selama 40 jam dan turut cuba membuka pintu keluar kecemasan di bahagian belakang pesawat.

Dia terpaksa ditahan oleh kru kabin sewaktu pesawat itu melakukan pendaratan cemas, menurut dokumen mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini.

Juri di barat Oregon, tempat pesawat Alaska Airlines melakukan pendaratan cemas itu, mendakwa Emerson atas 83 pertuduhan secara melulu membahayakan orang lain seorang untuk setiap orang dalam penerbangan pada 22 Oktober lalu itu dan satu pertuduhan membahayakan pesawat, menurut Peguam Daerah Multnomah, Mike Schmidt.

Bagaimanapun, tiada pertuduhan bagi cubaan membunuh.

Emerson dijangka hadir di mahkamah pada 7 Disember ini.

Emerson, 44, menaiki penerbangan yang dikendalikan oleh Horizon Air dari Everett, Washington ke San Francisco. Dia duduk di tempat duduk khas, selaras dengan dasar syarikat penerbangan untuk kakitangan yang tidak bekerja.

"Ketika dalam perjalanan, selepas berbual dengan juruterbang, Emerson cuba menarik dua pemegang yang akan mengaktifkan sistem pencegah kebakaran kecemasan pesawat dan memotong bahan api kepada enjinnya.

"Selepas bergelut secara fizikal dengan juruterbang, Emerson keluar dari kokpit," kata Jabatan Kehakiman pada masa itu.

Dia ditangkap selepas pesawat itu melakukan pendaratan cemas.

Dalam temu bual dari penjara, Emerson memberitahu New York Times, dia tidak berniat untuk mencederakan sesiapa.

Tetapi dia berbuat demikian dalam usaha untuk menyedarkan diri daripada keadaan khayal selepas mengambil magic mushrooms dua hari sebelumnya.

"Saya menarik kedua-dua pemegang itu kerana saya fikir saya bermimpi dan saya baru mahu bangun," kata Emerson kepada pegawai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 12:48 PM