PEMANDANGAN udara Lahaina yang dilanda kebakaran hutan hingga menyebabkan 53 maut. FOTO REUTERS
PEMANDANGAN udara Lahaina yang dilanda kebakaran hutan hingga menyebabkan 53 maut. FOTO REUTERS
Bernama-Agensi

San Francisco: Sekurang-kurangnya 53 orang disahkan maut dalam kebakaran hutan di Pulau Maui Hawaii, menurut Maui County dalam satu kenyataan di laman sesawangnya lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Ketika usaha memadam kebakaran diteruskan, 17 kematian lagi disahkan hari ini di tengah-tengah kebakaran terus berlaku di Lahaina, menjadikan jumlah kematian kepada 53 orang," menurut kenyataan itu.

Saksi berkata kebakaran dahsyat berlaku di bandar pesisir pantai Lahaina, sebuah destinasi indah di kepulauan Amerika Syarikat (AS) di Pasifik yang popular dengan pelancong, dengan orang ramai terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri daripada api yang merebak.

Beratus-ratus bangunan di pusat bandar bersejarah Lahaina turut musnah, kata pegawai.

Sementara itu, Presiden AS Joe Biden pada Khamis mengisytiharkan bencana besar ke atas Hawaii susulan kebakaran hutan yang didorong oleh taufan yang merosakkan dan memusnahkan ratusan struktur di Pulau Maui Hawaii, lapor Xinhua.

Biden mengarahkan bantuan persekutuan untuk membantu usaha pemulihan di kawasan yang terjejas bermula pada Selasa, termasuk menyediakan pembiayaan persekutuan kepada individu yang terjejas, di wilayah Maui, menurut kenyataan media Rumah Putih.

Bantuan termasuk dalam bentuk geran untuk perumahan sementara dan pembaikan rumah, pinjaman kos rendah untuk menampung kerugian harta benda yang tidak diinsuranskan dan program lain untuk membantu individu dan pemilik perniagaan pulih daripada kesan bencana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 9:50 AM