KEMUSNAHAN akibat kebakaran besar di Lahaina, Hawaii. FOTO  AFP
KEMUSNAHAN akibat kebakaran besar di Lahaina, Hawaii. FOTO AFP
Agensi

Honolulu: Beberapa jam selepas menyiarkan senarai nama 388 orang yang tidak diketahui status keberadaan akibat kebakaran di hutan Maui, Hawaii, Amerika Syarikat (AS), 100 daripadanya dilaporkan selamat, menurut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

BBC melaporkan, pihak berkuasa mengeluarkan senarai nama berkenaan pada Khamis dan meminta mangsa terselamat untuk tampil supaya agensi keselamatan dapat memfokuskan usaha pencarian.

Angka kematian rasmi akibat kebakaran itu kini berjumlah 115 orang.

Pasukan masih melakukan pencarian di bandar bersejarah Lahaina dan kawasan lain.

Kebakaran dahsyat pada 8 Ogos merebak di Lahaina, bandar dengan populasi 12,000 orang di tepi lautan.

Dalam sidang akhbar, ejen khas FBI yang bertanggungjawab di Honolulu, Steven Merril berkata, mereka berterima kasih kepada orang yang tampil termasuk menghubungi melalui telefon atau e-mel untuk mengesahkan status.

"Apabila kami mengeluarkan seseorang daripada senarai, ini membolehkan kami menumpukan lebih banyak sumber kepada mereka yang masih dalam senarai," katanya.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Polis Maui John Pellettier berkata, nama-nama sudah disahkan selamat itu dikeluarkan dari senarai itu dalam usaha untuk mengecilkan sesiapa yang masih tidak diketahui nasibnya.

"Tindakan ini jelas akan membantu siasatan," kata Pelletier.

Pegawai juga meminta penduduk untuk tampil, jika mereka melihat nama orang yang mereka kenali dalam senarai itu, yang berada dalam keadaan selamat.

Pada awal minggu ini, pihak berkuasa berkata, lebih 1,000 orang masih belum ditemukan.

Sehingga Khamis, Pelletier berkata, 1,732 orang lagi yang sebelum ini dilaporkan hilang sejak kejadian itu, sudah ditemukan selamat.

Pegawai dapat mengecilkan senarai yang hilang apabila melakukan semakan dengan nama mangsa di pusat perlindungan.

"Kami mahu memastikan bahawa kami melakukan segala termampu untuk menjadikan siasatan ini selengkap dan teliti yang mungkin," kata Pelletier.

Kebakaran memusnahkan sebahagian besar bandar Maui yang bersejarah iaitu Lahaina dan dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii.

Pegawai di Maui mengenal pasti secara terbuka 46 orang yang maut dalam kebakaran itu.

Nama terbaharu yang dikeluarkan pada Khamis, termasuk empat sekeluarga yang mayat mereka ditemukan di dalam kereta terbakar berhampiran rumah mereka.

Mereka dikenal pasti sebagai Tony Takafua, 7; ibunya Salote Tone, 39; serta datuk dan neneknya, Faaoso Tone, 70, dan Maluifonua Tone, 73.

Tony ialah kanak-kanak pertama yang disahkan menjadi mangsa kebakaran hutan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 11:55 AM