MELANIA (kiri) kelihatan berbual dengan suaminya Donald Trump pada majlis Mar-a-Lago.
MELANIA (kiri) kelihatan berbual dengan suaminya Donald Trump pada majlis Mar-a-Lago.
Agensi

New York: Selepas lama tidak kelihatan di khalayak umum terutama ketika suaminya Donald Trump yang juga bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) menghadapi tuduhan jenayah, Melania Trump akhirnya keluar daripada 'persembunyian' pada Ahad.

Bekas model itu dilihat menyertai suaminya meraikan Hari Easter di Mar-a-Lago di Palm Beach.

Beliau dilihat duduk bersebelahan dengan Trump untuk meraikan percutian bersama keluarga dan kenalan.

Sebelum ini, Melania menjadi tanda tanya ramai orang apabila tidak dilihat bersama Trump ketika menghadapi 34 tuduhan di mahkamah di New York, minggu lalu.

Spekulasi timbul mendakwa pasangan itu dalam proses perceraian.

Namun selepas lama menyepi daripada media sosial, Melania memecah 'kesunyian' dengan membuat ciapan Selamat Hari Easter, hujung minggu lalu.

Pada majlis itu yang diadakan di kelab persendirian di Florida, pasangan berkenaan menerima tepukan gemuruh tetamu ketika memasuki dewan.

Menerusi video tular, Donald dilihat melambai tangan dan berjabat tangan dengan tetamu, sementara isteri dikahwini selama 18 tahun berjalan terus ke meja di tengah dewan.

Trump menjadi pemimpin AS pertama menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan perniagaan termasuk dakwaan dia membayar AS$130,000 (kira-kira RM572,000) kepada bintang filem lucah Stormy Daniels beberapa hari sebelum menang pilihan raya presiden.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Daniels dalam temubual media dilapor menawarkan diri untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 4:40 PM