JAKET yang dipakai Melania Trump yang tertera tulisan ‘Saya benar-benar tidak peduli, adakah anda?’ di bahagian belakangnya menjadi perdebatan. Foto REUTERS
JAKET yang dipakai Melania Trump yang tertera tulisan ‘Saya benar-benar tidak peduli, adakah anda?’ di bahagian belakangnya menjadi perdebatan. Foto REUTERS
Reuters

WANITA pertama Amerika Syarikat, Melania Trump mengunjungi kanak-kanak yang terpaksa dipisahkan susulan krisis imigresen yang berada di Texas, semalam, iaitu sehari selepas Presiden Donald Trump membatalkan arahan terbabit.

Dalam perintah terbaru itu, Trump mengarahkan supaya ahli keluarga tidak dipisahkan ketika mereka masuk secara tidak sah ke Amerika Syarikat dari Mexico.

Menurut jurucakapnya, Stephanie Grisham, Melania mengambil keputusan untuk melawat pusat tahanan yang menempatkan kanak-kanak berkenaan kerana beliau sangat mengambil berat mengenai isu yang mencetuskan kontroversi itu.

Bagaimanapun, jaket yang dipakai Melania ketika mengunjungi pusat tahanan itu menimbulkan perdebatan pelbagai pihak kerana ia tertera tulisan ‘Saya benar-benar tidak peduli, adakah anda?’ di bahagian belakangnya seolah-olah memberi mesej berbeza berhubung kunjungannya.

“Ia hanya jaket. Tiada mesej tersembunyi. Saya harap selepas lawatan di Texas ini, pihak media tidak lagi memilih untuk memberi lebih tumpuan kepada pakaiannya,” kata Grisham kepada wartawan.

Ketika lawatan itu, Melania berpeluang bertemu dengan kakitangan pusat tahanan itu yang menempatkan 55 kanak-kanak berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun.

“Enam daripada mereka dipisahkan daripada keluarga ketika menyeberangi sempadan,” kata pihak berkuasa kepada wartawan.

Sementara itu, Trump ketika mempertahankan isterinya, menyalahkan pihak media dan memuat naik mesej di Twitter: “Saya benar-benar tidak peduli, adakah anda? yang tertera di belakang jaket Melania merujuk kepada media yang menyiarkan berita palsu.

“Melania sudah belajar mengenai betapa tidak jujurnya mereka, dan kini beliau tidak lagi peduli!”.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 11:54 AM