Mazlan (kanan) bersama Ketua Polis Terengganu,  Datuk Rohaimi Md Isa  semasa sidang media  selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjen Terengganu di Pengkalan Unit 6 Polis FRU, Wakaf Tapai. FOTO GHAZALI KORI
Mazlan (kanan) bersama Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa semasa sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Carco PDRM Kontinjen Terengganu di Pengkalan Unit 6 Polis FRU, Wakaf Tapai. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggota polis yang membuat aksi melampau di aplikasi media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan seumpama itu tidak sesuai dan hanya mencemarkan imej pasukan.

"Kalau ada anggota atau pegawai yang berpakaian lucah atau membuat aksi kurang sopan di media sosial termasuk aplikasi Tik Tok, kita akan siasat dan tindakan sewajarnya akan diambil.

"Selain dilarang membuat aksi melampau di media sosial, kita sudah memberi arahan (kepada) mereka ini dilarang mengeluarkan apa-apa komen yang jelek kepada kerajaan atau PDRM.

"Jadi mereka ada saluran tertentu untuk menyampaikan apa-apa maklumat atau (jika ada rasa) tidak berpuas hati iaitu melalui persatuan.

"Larangan ini memang ada, jadi kalau mereka didapati (berbuat demikian), kita boleh ambil tindakan disiplin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Jenis Toyota Hilux GS Cargo Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Unit 6 Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Katanya, perbuatan seperti menari di dalam aplikasi berkenaan tidak 'manis' dilakukan oleh pegawai mahupun anggota kerana seolah-olah mengaibkan pakaian seragam PDRM.

Pada Disember 2020, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah menyarankan kepada pegawai dan anggota PDRM untuk tidak bermain aplikasi media sosial, Tik Tok ketika sedang bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:54 PM