KERA ekor panjang (gambar fail). FOTO AFP
KERA ekor panjang (gambar fail). FOTO AFP
AP

Miami: Lapan individu, termasuk pegawai hidupan liar Kemboja didakwa di mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana menyeludup spesis monyet terancam, long-tailed macaques, ketika dalam perjalanan menghadiri persidangan melindungi spesies terancam di Panama.

Pegawai dari Kemboja itu bersama rakan sekerja dan enam individu dari syarikat berpangkalan di Hong Kong, Vanny Resources Holdings (Vanny), yang terbabit dengan pembiakan monyet bagi penyelidikan saintifik dan akademik, membekalkan haiwan berkenaan untuk makmal di Florida dan Texas.

Makmal terbabit dipercayai cuba membeli haiwan liar itu secara haram berikutan kekurangan monyet daripada spesis dilindungi itu bagi operasi pembiakan mereka.

Long-tailed macaques atau kera ekor panjang dilindungi mengikut undang-undang perdagangan antarabangsa dan permit khas diperlukan untuk mengimport haiwan berkenaan ke AS.

Lebih lanjut mengenai kes itu, Timbalan Pengarah Hidupan Liar dan Biodiversiti di Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Masphal Kry, ditahan pada Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York.

Kry, 46, dalam perjalanan ke Panama untuk menghadiri mesyuarat antarabangsa bagi mengawal selia perdagangan spesies terancam, kata seorang pegawai AS yang tidak mahu namanya disiarkan.

Ketua Pengarah Pentadbiran Perhutanan Asia Tenggara, Omaliss Keo, 58, turut didakwa lapan pertuduhan bersama enam pekerja, namun pihak berkuasa tidak mendedahkan sesiapa selain Kry yang ditahan.

Mereka yang didakwa atas perbuatan itu masing-masing berdepan hukuman penjara sehingga 145 tahun.

"Monyet itu diiktiraf sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi," kata Peguam AS bagi Daerah Selatan Florida, Juan Antonio Gonzalez dalam satu kenyataan.

"Amalan membawa haiwan itu secara haram dari habitat mereka untuk berakhir di makmal adalah sesuatu yang perlu kita hentikan. Ketamakan tidak boleh dilakukan sebelum pemuliharaan yang bertanggungjawab."

Menurut dakwaan, pengasas dan pemilik Vanny, James Man Sang Lau, 64, dan pengurus besar Vanny, Dickson Lau, 29, yang beroperasi dari Hong Kong, memiliki dan menguruskan beberapa syarikat yang bersekongkol dengan pengumpul dan pegawai di Kemboja untuk memperoleh monyet liar dan mengeksportnya ke AS, dilabel secara palsu sebagai baka yang dibiak.

Kera ekor panjang itu dibawa dari taman negara dan kawasan perlindungan lain di Kemboja ke kemudahan pembiakan yang mana mereka diberikan permit eksport palsu, kata pegawai.

Pegawai Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja menerima bayaran tunai AS$220 (RM999) bagi seekor kera ekor panjang sebagai pertukaran untuk kuota kutipan 3,000 monyet 'tidak rasmi'.

Persidangan di Panama menghimpunkan 184 perwakilan ke Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam, pada 23 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 12:08 PM