KIMA gergasi yang dirampas. FOTO AFP
KIMA gergasi yang dirampas. FOTO AFP
Agensi

Manila: Pihak berkuasa Filipina menumpaskan cubaan penyeludupan spesies terancam, kima gergasi bernilai AS$3.3 juta (RM13.44 juta).

Gulf News melaporkan dalam satu operasi terbesar di negara itu, pasukan keselamatan laut, pengawal pantai dan pegawai pemuliharaan menyerbu sebuah rumah di Pulau Johnson di kepulauan barat Palawan pada Rabu.

Hasilnya, mereka menemui lebih 300 cengkerang hidupan itu seberat 80 tan dan bernilai RM13.44 juta.

Ia termasuk spesies Tridacna gigas, kima terbesar di dunia yang cengkerangnya boleh cecah 1.4 meter.

Filipina terkenal sebagai tempat perlindungan spesies kima gergasi tropika yang diancam pemburu haram.

Pegawai pemuliharaan berkata, cengkerang haiwan berkenaan digunakan sebagai alternatif pembuatan produk seperti anting-anting dan barangan perhiasan meletak lilin.

Jurucakap majlis pemuliharaan Palawan, Jovic Fabello mengesahkan ketua kampung pulau itu akan didakwa kerana melindungi aktiviti haram itu.

Kepulauan Palawan terkenal sebagai tempat perlindungan biodiversiti terakhir, namun turut menjadi lokasi panas aktiviti pemburuan haiwan liar seperti tenggiling, kura-kura laut serta burung liar yang dijual secara haram.

Akta perikanan negara itu melarang pengambilan kima gergasi yang dianggap spesies terancam.

Mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara lapan tahun dan denda hingga AS$61,000 (RM248,514).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:30 AM