PENGANTIN perempuan itu ditahan ketika serbuan pada majlis perkahwinannya.
PENGANTIN perempuan itu ditahan ketika serbuan pada majlis perkahwinannya.
Agensi

Mexico City: Gara-gara bersubahat dengan penjenayah, seorang pengantin perempuan di Mexico ditahan polis ketika serbuan pada majlis perkahwinannya, baru-baru ini.

Mirror UK melaporkan, Nancy Lizeth ditahan pada hari perkahwinannya dengan individu dikehendaki iaitu Clemente Mendiola Martinez.

Lelaki digelar 'El Raton' atau 'The Mouse' itu dikatakan berperanan sebagai pembunuh untuk kartel dadah di Mexico.

Difahamkan, polis mengekori wanita itu ke lokasi perkahwinan sebelum memberkasnya.

Tidak dapat dipastikan sama ada pasangan itu sempat bertukar ikrar perkahwinan.

Gambar dikongsikan polis tempatan menunjukkan Lizeth memakai gaun pengantin dengan tangannya bergari dan dia diapit oleh pegawai polis yang lengkap bersenjata.

Lizeth juga dilihat memakai tiara dan berdiri di sebelah tujuh suspek lain yang kelihatan muram dan menjadi tetamu di majlis perkahwinan itu.

Martinez, bagaimanapun, berjaya melarikan diri ketika serbuan itu dan meninggalkan pengantin perempuannya, menurut media tempatan.

Lelaki itu dipercayai anggota kartel terkemuka dan dikatakan dikehendaki kerana terbabit dalam kes pembunuhan.

Polis dan pendakwa mengesyaki Lizeth menjadi rakan subahat dan dia juga akan menghadapi berdepan pertuduhan pemerasan, kata laporan.

Pejabat Pendakwa Edomex dalam satu kenyataan bahawa Martinez adalah sasaran utama kerana terbabit pembunuhan dan pemerasan, di samping ada waran tangkap terhadapnya.

Dalam pada itu, Polis Mexico menawarkan 300,000 peso Mexico (kira-kira RM82,947) sebagai ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat membawa kepada penangkapan Martinez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:58 AM