GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Kecoh di laman sosial China mengenai perkahwinan seorang lelaki berusia 71 tahun dan pasangannya yang 39 tahun lebih muda daripadanya.

Malah, kemurahan hati pengantin lelaki turut terserlah apabila menyediakan mas kahwin bernilai hampir 124,384 yuan (kira-kira RM81,196) dan perbezaan umur ketara antara pasangan itu mencetuskan spekulasi meluas mengenai motivasi mereka untuk berkahwin.

Portal The Thaiger melaporkan, majlis perkahwinan pasangan itu diadakan di wilayah Shexian, China.

Pengantin lelaki dan pengantin perempuan berusia 32 tahun membuktikan cinta mereka dalam satu majlis yang menelan belanja dianggarkan 120,000 yuan (kira-kira RM78,335).

Pengantin lelaki kelihatan berseri-seri, tidak sabar menantikan pasangan yang memakai gaun merah cerah sekali gus menyambut saudara-mara dan rakan dengan senyuman riang.

Menurut penduduk, pengantin perempuan berstatus ibu tunggal dan memiliki seorang anak hasil perkahwinan terdahulu serta terpaksa mencari lelaki yang sanggup memikul tanggungjawab itu.

Sementara pengantin lelaki, seorang pesara memilih hidup bersendirian selepas pertikaian harta dengan anak perempuannya.

Namun, pengantin perempuan itu membawa kebahagiaan kembali ke dalam hidupnya, mendorongnya untuk melamar seterusnya berkahwin.

Perkahwinan itu mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 4:01 PM