TAHANAN bersenjata api  di dalam penjara Guarico, Venezuela.
TAHANAN bersenjata api di dalam penjara Guarico, Venezuela.
Agensi

Caracas: Sebuah penjara di Guarico, Venezuela dikhabarkan antara penjara paling bahaya di dunia apabila 'dikawal' banduan dengan bom tangan dan pengawal bersenjata terlalu takut memasuki sel tahanan.

Portal Daily Star melaporkan sebuah dokumentari bertajuk La Causa memaparkan Penjara Umum Venezuela itu dengan tahanan yang menjalankan perniagaan dadah dalam penjara manakala tahanan gay dipaksa tinggal di bumbung.

Dokumentari berkenaan mendedahkan pengawal penjara bersenjata terlalu takut masuk berikutan banduan menjalankan urus niaga dadah.

Di penjara berkenaan, sambutan parti dan pesta diadakan untuk banduan yang masuk dan keluar dari fasiliti berkenaan.

Andres Figueredo Thomson yang juga pengarah dokumentari La Causa menghabiskan lapan tahun di penjara untuk membuat filem itu.

Pemerhati penjara Venezuela mendedahkan beberapa tahanan terpaksa membunuh anjing Rottweiler sebagai makanan kerana tiada makanan lain.

Andres yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, beliau melihat tahanan dengan senjata dan bom tangan serta menggambarkan bau di penjara itu amat tidak menyenangkan.

"(Keadaannya) seperti berada di zon perang dan melihat kanak-kanak masuk dan keluar dari penjara, berada di dalam persekitaran dengan individu bersenjata.

"Ada seorang lelaki menjual dadah dengan bayi berada dalam tangannya," katanya.

Nama filem dokumentari itu mengguna pakai kata laluan penjenayah dalam penjara yang merujuk kepada bayaran 'cukai' bagi menyeludup masuk dadah dan senjata api.

Sekiranya mereka gagal membayar 'cukai' itu, mereka dihantar ke 'gereja' yang digambarkan sebagai penjara dalam penjara.

Namun, Andres mengatakan, walaupun melakukan pelbagai kejahatan, tahanan sangat takut dengan apa yang terjadi kepada mereka jika melampaui batas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:15 AM