RAKAMAN gambar kamera litar tertutup menunjukkan Tony didera pegawai penjara. FOTO Agensi
RAKAMAN gambar kamera litar tertutup menunjukkan Tony didera pegawai penjara. FOTO Agensi
Agensi

Alabama: Seorang lelaki berusia 33 tahun mati beku di penjara di Montgomery, Alabama selepas diletakkan di dalam bilik sejuk beku dan kawasan sejuk lain oleh pengawal penjara.

Dakwaan itu dibuat keluarga mangsa, Anthony Tony Mitchell dalam tuntutan di mahkamah baru-baru ini, lapor New York Post.

Keluarga itu mendakwa lebih 12 pegawai penjara di Walker County mendera mangsa dan merancang menutup penganiayaan itu.

Ibunya Margaret Mitchell yang bersedih dengan kematian itu berhujah bahawa anaknya berdepan keadaan seperti dalam neraka di penjara selama kira-kira dua minggu sebelum meninggal dunia selepas ditahan pada pertengahan Januari lalu.

"Tony merana dalam keadaan berbogel dan mati akibat hipotermia pada awal pagi 26 Januari lalu dan peluangnya untuk terus hidup semakin tipis.

"Ramai pegawai dan kakitangan perubatan pergi ke pintu selnya yang terbuka untuk melihat dan terhibur dengan keadaannya," katanya.

Seorang pegawai Syerif Walker County memberitahu saudaranya bahawa mangsa menerima bantuan ketika di penjara tetapi sebaliknya apabila dia didera dan dibogelkan.

Menurut keluarga, Tony mengalami ketagihan dadah selain menghadapi masalah kesihatan mental dan fizikal.

Tuntutan itu turut menyatakan bahawa mangsa diikat pada kerusi dan diletakkan dalam bilik sejuk beku di dapur penjara atau persekitaran sejuk untuk masa yang lama sebagai bentuk hukuman.

Apabila dibawa ke hospital tempatan, suhu badannya hanya 72 darjah dan walaupun laporan bedah siasat belum dikeluarkan, jelas bahawa kematian Tony adalah akibat penderaan yang mengerikan, berniat jahat dan disengajakan.

Seorang doktor bilik kecemasan menyatakan dalam laporan perubatan bahawa sukar untuk memahami mengapa badan lelaki itu sejuk yang mungkin membawa kepada hipotermia dan tidak pasti sama ada dia terdedah kepada persekitaran sejuk, tulis doktor itu.

Selepas Mitchell ditemui di kawasan sejuk, rawatan perubatan ditangguhkan selama lima jam sebelum dia akhirnya menerima bantuan dan apabila tiba di hospital, dia sudah tidak sedarkan diri.

Keluarga Mitchell menghargai seorang pegawai penjara, Karen Kelly kerana menyimpan rakaman Mitchell di penjara dan pegawai itu turut menyaman Pejabat Sheriff Walker County atas pemberhentiannya selepas berkongsi video berkenaan.

Peguam keluarga Mitchell, Jon Goldfarb dalam kenyataan menyelar penjara dan berkata, ia adalah kes penderaan banduan paling teruk yang pernah dilihat.

Mitchell ditahan pada 12 Januari oleh pihak berkuasa.

Dia dikatakan melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa sebelum berjaya ditahan dan menemukan dadah methamphetamine, heroin serta merampas pistol yang digunakan semasa kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:31 PM