GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Ottawa: Gara-gara enggan mengambil vaksin, seorang bapa di Kanada kehilangan hak untuk melawat anaknya.

Perkara itu diputuskan sebuah mahkamah di Quebec yang menyifatkan lawatan lelaki terbabit tidak akan memberi kepentingan terbaik kepada kanak-kanak berusia 12 tahun itu.

Ia kerana si bapa menentang usaha mengekang penularan penyakit.

Keputusan itu, yang pada mulanya dilaporkan akhbar Quebec Le Devoir dan dirujuk oleh AFP, dikeluarkan pada 23 Disember.

Menurut laporan itu, mahkamah menggantung hak lawatan bapa itu sehingga Februari, melainkan dia memutuskan untuk mendapatkan vaksin.

"Ia bukan menjadi kepentingan terbaik kanak-kanak itu untuk menghubungi bapanya, jika dia tidak diberi vaksin dan menentang langkah kesihatan dalam konteks epidemiologi semasa," kata hakim dalam keputusannya, merujuk kepada peningkatan kes Covid-19 akibat varian Omicron.

Hakim berkata, ketika kanak-kanak itu diberi vaksin, perlindungan mereka nampak seperti berkurangan melawan varian Omicron yang merebak di Quebec, ketika ini.

Ibu itu juga yang tinggal bersama pasangannya dan dua anak lain, berumur tujuh bulan dan empat tahun.

"Dalam keadaan ini, tiada kepentingan mana-mana daripada tiga kanak-kanak itu termasuk berusia 12 tahun itu untuk melawat bapa mereka," hakim memutuskan.

Isu timbul apabila bapa berkenaan meminta tempoh lanjutan hak lawatan kepada musim cuti.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu tidak bersetuju dengan menunjukkan bukti lelaki itu menentang langkah kesihatan menerusi catatannya di media sosial, serta belum mengambil suntikan vaksin.

Walaupun lebih daripada 90 peratus orang dewasa di Quebec sudah menerima vaksinasi, namun wilayah itu mencatatkan peningkatan kes mendadak dan kemasukan ke hospital dalam beberapa minggu kebelakangan ini disebabkan varian Omicron.

Dalam usaha membendung gelombang baharu, Quebec pada 30 Disember lalu mengumumkan sekatan tertentu semula, termasuk perintah berkurung mulai 10 malam dan larangan perhimpunan persendirian.

Wilayah yang penduduknya berbahasa Perancis itu juga akan mengenakan cukai kesihatan baharu ke atas orang yang tidak divaksin dalam beberapa minggu akan datang dan melarang mereka mengunjungi kedai bukan keperluan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:55 AM