ORANG ramai menunggu giliran untuk melakukan ujian RT-PCR bagi Covid-19 disebuah makmal di Johannesburg, Afrika Selatan,kelmar in.
ORANG ramai menunggu giliran untuk melakukan ujian RT-PCR bagi Covid-19 disebuah makmal di Johannesburg, Afrika Selatan,kelmar in.
Agensi

Johannesburg: Kanak-kanak bawah usia dua tahun menyumbang 10 peratus daripada jumlah kemasukan ke hospital di Tshwane, kawasan perbandaran menjadi pusat penularan varian Omicron di Afrika Selatan.

Ia didedahkan menerusi laporan Institut Kebangsaan untuk Penyakit Berjangkit.

Menurut laporan itu, lebih ramai kanak-kanak diterima masuk ke hospital berbanding ketika peringkat awal negara memasuki gelombang keempat penularan Covid-19 di negara berkenaan.

Ia jika dibandingkan dengan trend semasa penularan gelombang ketiga Covid-19 yang menyaksikan varian Delta adalah varian dominan, kata Dr Waasila Jassat, pakar kesihatan awam di institut itu.

Bloomberg melaporkan, saintis Afrika Selatan minggu lalu adalah orang pertama yang mengenal pasti varian baharu yang kini dikenali sebagai Omicron.

Walaupun simptom disifatkan sebagai ringan, risiko sebenar varian baharu itu tidak dapat dipastikan.

Dalam pada itu, negara di seluruh dunia meningkatkan sekatan perjalanan sebagai tindak balas, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran varian itu boleh mencetuskan lonjakan baru dalam jangkitan.

"Kanak-kanak mempunyai sistem imun tidak matang dan mereka tidak diberi vaksin, jadi mereka lebih berisiko," kata Dr Jassat.

Beliau berkata, sebahagian daripada peningkatan kadar kemasukan mungkin mencerminkan langkah berjaga-jaga tambahan di pihak ibu bapa memandangkan kebimbangan baharu mengenai mutasi itu.

Laporan pediatrik dibuat pada lewat minggu ini akan memberikan lebih banyak maklumat mengenai hal itu.

Di Tshwane, kawasan perbandaran meliputi ibu negara Afrika Selatan, Pretoria, 52 kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang didiagnosis dengan Covid-19 dimasukkan ke hospital dan seorang meninggal dunia, kata Dr Jassat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 7:01 AM