PASANGAN Daphna (kanan) dan Alexander Cardinale. FOTO Peiffer Wolf Carr Kane & Conway.
PASANGAN Daphna (kanan) dan Alexander Cardinale. FOTO Peiffer Wolf Carr Kane & Conway.
AFP

Los Angeles: Wanita Amerika Syarikat dan suaminya menyaman sebuah klinik kesuburan kerana didakwa mensenyawakan benih individu tidak dikenali, menurut peguam pasangan itu pada Isnin.

Daphna dan Alexander Cardinale mengesan kelainan pada anak perempuan mereka ketika kali pertama melihat bayi itu yang diperoleh hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

Mereka mengesan bayi terbabit mempunyai rambut hitam dan berkulit lebih gelap berbanding mana-mana ahli keluarga lain.

Ujian DNA beberapa bulan kemudian mendedahkan bayi yang dilahirkan pada September 2019 itu tiada pertalian darah dengan mereka dan pasangan terbabit telah membesarkan anak orang lain.

Peguam tetuan Peiffer Wolf Carr Kane & Conway itu berkata, dua makmal yang mempunyai kaitan dengan seorang doktor dipercayai menukar embrio dua pasangan berasingan dan memasukkannya ke dalam rahim ibu yang salah.

Pasangan berkenaan akhirnya bertemu dan bekerjasama untuk menuntut hak penjagaan anak kandung masing-masing di mahkamah.

"Saat anak perempuan kami lahir sepatutnya menjadi detik paling menggembirakan dalam hidup, tetapi sebaliknya saya menggeletar dan keliru, seperti saya langsung tidak mengenalinya.

"Apabila kebenaran terbongkar, ia menjadikan pertukaran anak lebih menyayat hati.

"Kehilangan anak dilahirkan yang kita kenali kepada anak kandung yang kita belum tahu... ia benar-benar mimpi ngeri yang mustahil berlaku," kata Alexander Cardinale.

Saman itu bertujuan untuk mendapatkan semula ganti rugi emosi, pampasan dan ganti rugi harta benda serta kos lain.

Prosedur IVF dilaksana kepada pasangan yang sukar mendapat anak, yang mana sperma dan telur akan disenyawakan di dalam makmal sebelum menjadi embrio yang kemudian dikembalikan ke dalam rahim wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 12:59 PM