FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Washington: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh dalam insiden tembakan di Indianapolis, Amerika Syarikat (AS) oleh seorang lelaki bersenjata yang kemudiannya dipercayai membunuh diri, kata polis.

Semua mangsa ditemui di fasiliti Fedex, berhampiran lapangan terbang antarabangsa di mana insiden itu berlaku semalam.

Jurucakap polis, Genae Cook pada sidang media berkata, sebahagian mangsa sudah dibawa ke hospital.

Seorang lelaki yang bekerja di kilang itu memberitahu penyiar tempatan, WISH-TV bahawa dia melihat tembakan oleh lelaki bersenjata itu dan mendengar lebih 10 tembakan dilepaskan.

"Saya melihat seorang lelaki dengan senjata seperti mesingan, sebuah senapang automatik dan dia melepaskan tembakan di tempat terbuka. Saya segera menunduk dan rasa takut," kata Jeremiah Miller.

Cook memberitahu, pegawai sudah bertindak balas terhadap 'insiden penembak aktif' dan percaya lelaki bersenjata itu mati kerana membunuh diri.

Beliau berkata, pihak berkuasa membuat penilaian bahawa tiada ancaman lain terhadap keselamatan masyarakat.

Jurucakap Fedex mengesahkan kawasan fasilitinya sebagai lokasi tembakan dan menyatakan kesediaan syarikat itu bekerjasama dengan pihak berkuasa.

"Kami menyedari tembakan tragis di kawasan kami berhampiran lapangan terbang Indianapolis. Keselamatan adalah keutamaan kami," kata syarikat itu dalam kenyataan.

Fasiliti bagi syarikat penghantaran itu dilaporkan menempatkan lebih 4,000 pekerja.

Seorang lagi pekerja, Timothy Boillat, memberitahu melihat sekitar 30 kereta polis tiba di lokasi kejadian dan dia menyaksikan tembakan itu berlaku.

"Selepas mendengar tembakan, saya melihat mayat terbaring di lantai. Nasib baik, saya berada jauh dari tempat penembak, jadi dia tidak melihat saya," katanya.

Akhir bulan lalu, empat orang, termasuk seorang kanak-kanak, mati ditembak di sebuah bangunan pejabat di California selatan.

Pada 22 Mac, 10 orang terbunuh dalam tembakan di sebuah kedai runcit di Boulder, Colorado.

Kejadian terbabit berlaku kurang dari seminggu selepas seorang lelaki menembak dan membunuh lapan orang, termasuk enam wanita keturunan Asia, di spa di Atlanta, Georgia.

Hampir 40,000 individu di AS mati setiap tahun akibat senjata api, lebih separuh daripadanya adalah bunuh diri.

Presiden AS, Joe Biden bulan ini mengumumkan enam langkah eksekutif yang katanya akan membantu membendung krisis keganasan senjata api di negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 5:58 PM