OLIVIA (sebelum kematiannya) mengenakan pakaian seragam polis  dan dibawa dalam kenderaan polis bagi memenuhi impiannya. FOTO Agensi
OLIVIA (sebelum kematiannya) mengenakan pakaian seragam polis dan dibawa dalam kenderaan polis bagi memenuhi impiannya. FOTO Agensi
Agensi

Denver: Bukan saja memperdaya orang ramai dengan mereka cerita anaknya menderita pelbagai penyakit yang mengancam nyawanya, seorang ibu di Colorado, Amerika Syarikat (AS), tergamak 'membunuh' kanak-kanak itu selepas memperoleh wang sumbangan.

Memetik portal Daily Mirror, Kelly Turner,43, mendakwa, anaknya , Olivia Gant, menderita penyakit jarang jumpa dan membawa maut, sawan, autisme, alahan serta kegagalan usus.

Namun, pihak berkuasa curiga dengan kematian Olivia pada 2017 apabila Turner mendawa anak perempuannya yang lain juga mengalami masalah kesihatan sebelum laporan bedah siasat mayat Olivia tidak menemui punca kematian akibat penyakit didakwa ibunya.

Sebelum kematiannya, media tempatan melaporkan Turner mendakwa anaknya menderita neurogastrointestinal encephalomyopathy yang menyebabkan badannya tidak berfungsi.

Turner menggerakkan kutipan dana di laman GoFundMe selain sukarelawan Make-A-Wish-Foundation turut mengenakan kostum watak Disney selain Olivia dibawa dengan kenderaan polis mengelilingi bandar bagi memenuhi salah satu impiannya.

Secara keseluruhan, lebih daripada AS$22,000 (RM89,122) kutipan dana berjaya dikumpulkan untuk Olivia. Menurut pendakwaan, Turner menghentikan rawatan perubatan anak perempuannya beberapa minggu sebelum kematiannya, lapor KUSA.

Wanita itu juga didakwa melakukan perkara tidak berperikemanusiaan apabila menghentikan penjagaan dan memberi makan bagi membiarkan anaknya mati kononnya kualiti hidup Olivia semakin rendah.

Doktor menemui kanak-kanak itu tidak mampu bertahan lama akibat kekurangan nutrisi sebaik dia dimasukkan ke Hospital Kanak-kanak Colorado, pada Julai 2017.

Malah, seorang doktor memberitahu penyiasat wanita itu bertegas menandatangani arahan 'jangan pulihkan' kembali anaknya.

Berdasarkan rekod penjara, Turner mengaku tidak bersalah atas beberapa pertuduhan termasuk pembunuhan, penderaan, pemalsuan tahap kedua dan cubaan mempengaruhi penjawat awam selain menipu sistem Medicaid lebih daripada AS$538,000 (RM2.2 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 10:33 AM