FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Agensi

Colorado: Akibat kedegilan si ibu enggan mendengar nasihat pakar perubatan yang menyarankannya mengambil vaksin untuk anaknya, dia kini dirundung kesedihan kerana anaknya meninggal dunia selepas tidak pulih daripada selesema berlarutan.

Anaknya yang berusia empat tahun itu maut selepas ibunya dipercayai enggan mengambil vaksin Tamiflu yang disarankan doktor.

Malah, doktor berkenaan turut menyarankan seluruh ahli keluarga wanita itu mengambil vaksin yang dicadangkan memandangkan dua daripada empat anaknya turut berdepan masalah selesema.

Bagaimanapun, wanita itu memilih untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan antivaksin di media sosial.

NBC News melaporkan, kanak-kanak itu belum didiagnosis sebarang penyakit tetapi menghidap demam dan sawan.

“Doktor mahu kami mengambil tamiflu tetapi saya enggan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook antivaksin.

Menurut laporan itu, terdapat 45 komen di hantaran yang dibuat ibu berkenaan namun, tidak ada satupun yang mencadangkannya mengikut saranan doktor.

“Ibu itu mendakwa dia menggunakan ‘penyembuh semula jadi’ untuk merawat anak-anaknya termasuk menggunakan minyak pepermin, vitamin C dan lavender namun, tidak berkesan.

“Dia kemudiannya meminta cadangan lain daripada kumpulan berkenaan dan ada yang menyarankan susu ibu, daun thyme dan sejenis beri yang tiada sebarang bukti perubatan merawat selesema,” kata laporan itu.

Kanak-kanak itu kemudiannya dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia empat hari kemudian.

Tamilflu adalah ubat antivirus khas bagi merawat selesema dan ketika ini musim kanak-kanak mendapat penyakit itu agak tinggi.

Pakar pediatrik menganggarkan kadar jangkitan selesema sekarang lebih tinggi daripada biasa iaitu 68 kanak-kanak dilaporkan maut mengikut perangkaan Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan.

Kajian oleh American Academy of Family Physicians mendapati 59 peratus daripada ibu bapa mengatakan anak mereka tidak mengambil vaksin berkenaan berikutan menerima maklumat salah atau salah faham.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 7:03 PM