AFP

Mexico City: Ketika penonton bertepuk tangan dan menari, seorang datuk bandar sebuah bandar kecil di selatan Mexico memasuki majlis perkahwinan dengan reptilia betina, dalam upacara tradisional untuk memohon nasib baik kepada rakyatnya.

Victor Hugo Sosa, Datuk Bandar San Pedro Huamelula, sebuah bandar Orang Asli Chontal di Tehuantepec di Mexico, mengambil reptilia bernama Alicia Adriana itu sebagai tunangnya, melakonkan semula upacara nenek moyang.

Reptilia itu adalah kayman, sejenis aligator yang menjadi penghuni paya di Mexico dan Amerika Tengah. Aligator adalah haiwan seperti buaya, namun ia sedikit berbeza.

ALIGATOR betina yang digelar ‘gadis puteri’. FOTO AFP
ALIGATOR betina yang digelar ‘gadis puteri’. FOTO AFP

Sosa bersumpah untuk menepati apa yang dikatakan oleh tradisi tempatan terhadap aligator itu sebagai 'gadis puteri'.

"Saya menerima tanggungjawab kerana kami saling menyayangi. Itu yang penting. Anda tidak boleh berkahwin tanpa cinta. Saya tunduk kepada perkahwinan dengan 'gadis puteri'," kata Sosa semasa upacara itu.

Perkahwinan antara lelaki dan kayman betina sudah berlaku di penempatan Orang Asli itu selama 230 tahun untuk memperingati hari apabila dua kumpulan Orang Asli berdamai, dengan melakukan upacara perkahwinan suci.

Tradisi mengatakan bahawa pergeseran dapat diatasi apabila seorang Raja Chontal mengahwini puteri perempuan kumpulan Orang Asli Huave, yang diwakili oleh aligator betina.

Victor Hugo Sosa memegang pengantin perempuan yang juga aligator betina. FOTO AFP
Victor Hugo Sosa memegang pengantin perempuan yang juga aligator betina. FOTO AFP

Sebelum majlis perkahwinan, reptilia itu dibawa dari rumah ke rumah supaya penduduk boleh memeluknya dan menari.

Kayman itu memakai skirt hijau, tunik sulaman tangan berwarna-warni dan hiasan kepala reben dan labuci.

Muncung haiwan itu diikat untuk mengelakkan sebarang kecelakaan sebelum perkahwinan.

Kemudian, dia memakai kostum pengantin putih dan dibawa ke dewan bandar untuk acara berkenaan.

Selepas perkahwinan, datuk bandar menari dengan 'pengantin perempuan' mengikut bunyi muzik tradisional.

Ketika tarian itu berakhir, lelaki itu mencium muncung 'gadis puteri' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 2:32 PM