ALIGATOR yang menyerang dan menyebabkan kematian wanita berusia 85 tahun. FOTO Agensi
ALIGATOR yang menyerang dan menyebabkan kematian wanita berusia 85 tahun. FOTO Agensi
Agensi

Washington: Seorang wanita berusia 85 tahun terbunuh dalam serangan aligator ketika berjalan dengan anjingnya di Fort Pierce, Florida.

Media tempatan melaporkan aligator sepanjang tiga meter itu mula-mula menyerang anjing wanita itu, tetapi mengejarnya sebaik sahaja dia cuba menyelamatkan haiwan peliharaan itu.

Serangan aligator sehingga mengakibatkan kematian adalah jarang berlaku menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC). Anjing wanita itu terselamat daripada serangan reptilia terbabit.

"Mangsa ditemukan semula dan seorang pemburu aligator berjaya menangkap reptilia itu," kata FWC dalam satu kenyataan.

FWC dan Pejabat Syerif Daerah St Lucie menjawab panggilan kecemasan mengenai serangan aligator di komuniti persaraan Spanish Lakes Fairways pada Isnin.

Jiran memberitahu media tempatan, aligator itu muncul dari air dan menerkam anjing itu.

Mangsa cuba menjauhkan anjing itu daripada reptilia berkenaan tetapi entah bagaimana menjadi mangsa. Identiti mangsa belum dikenal pasti.

Selepas mengesan aligator besar itu, enam pegawai hidupan liar berjaya menangkap reptilia itu daripada terus memberi ancaman kepada penduduk.

FWC mengesyorkan supaya sentiasa peka mengenai kemunculan aligator apabila berhampiran air tawar dan jika diserang perkara terbaik untuk dilakukan ialah melawan balik.

Pegawai berkata, aligator adalah 'pemakan oportunistik', dan memakan mangsa yang tersedia untuk reptilia itu.

Jika mangsa tidak mudah dikuasai, reptilia itu lazimnya akan melepaskan mangsanya dan berundur.

Aligator boleh ditemukan di semua 67 daerah di Florida, tetapi ia jarang menyerang manusia dan kematian akibat kejadian seperti itu jarang berlaku, menurut fakta FWC di laman webnya.

Sejak 1948, hanya 26 daripada 442 serangan yang tidak diprovokasi di negeri ini mengakibatkan kematian manusia, menurut data FWC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 3:06 PM