LUIZ Miguel Furtado Barbosa. FOTO Agensi
LUIZ Miguel Furtado Barbosa. FOTO Agensi
Agensi

Rio de Janeiro: Kanak-kanak lelaki di Brazil mengalami tujuh serangan jantung apabila dia disengat oleh salah satu kala jengking paling berbahaya di dunia ketika memakai kasutnya, baru-baru ini.

Luiz Miguel Furtado Barbosa, 7, meninggal dunia pada 25 Oktober di sebuah hospital, dua hari selepas dia disengat oleh kala jengking kuning Brazil atau Tityus serrulatus, spesies dengan racun yang sangat toksik yang dipersalahkan atas beribu-ribu kematian di negara itu.

Mangsa yang tinggal di bandar Anhembi di Sao Paulo sedang membuat persiapan untuk menyertai perkhemahan, baru-baru ini.

Independent melaporkan, Luiz Miguel sedang memakai kasutnya untuk bersiap apabila kala jengking itu menyengatnya, ibunya Angelita Proença Furtado memberitahu akhbar Brazil, O Globo.

"Sebaik memakainya, dia menjerit kesakitan. Oleh kerana kami tidak menjumpai apa yang menyengatnya, kami terus mencari. Tetapi kakinya mula merah menyebabkan kesakitan," katanya.

Mereka menggeledah rumah untuk mengetahui apa yang menggigit kanak-kanak itu.

Kira-kira lima minit selepas kanak-kanak lelaki itu disengat, Proença Furtado dan suaminya, Eraldo Barbosa melihat kala jengking kuning yang digeruni itu.

Mereka kemudian membawa anak lelaki itu ke Hospital das Clínicas de Botucatu, di mana ubat penawar untuk kala jengking boleh didapati.

Miguelzinho mengalami empat serangan jantung ketika dirawat di unit pediatrik hospital itu.

Kanak-kanak lelaki itu secara keseluruhan mengalami tujuh serangan jantung, sebelum dia meninggal dunia.

Jumlah orang yang disengat kala jengking kuning meningkat 10 kali ganda, sejak 2000.

Daripada 12,000 kes pada 2000, kes meningkat kepada 156,000 pada 2018, menurut kementerian kesihatan Brazil.

Spesies itu adalah parthenogenetic bermakna hidupan betinanya boleh membiak tanpa memerlukan pasangan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 2:03 PM