PESAWAT Air India dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada Januari 2023. FOTO fail AFP
PESAWAT Air India dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada Januari 2023. FOTO fail AFP
Agensi

New Delhi: Seorang penumpang wanita disengat kala jengking ketika dalam penerbangan dari Nagpur ke Mumbai, 23 April lalu.

Jurucakap syarikat penerbangan Air India berkata, kru kabin segera memberikan rawatan perubatan kecemasan sebelum penumpang dikejarkan ke hospital sejurus selepas pesawat mendarat.

"Dia dirawat doktor di lapangan terbang sebelum dibawa ke hospital dan dibenarkan keluar.

"Pegawai kami menemani penumpang ke hospital dan menawarkan semua sokongan kepada penumpang sehingga keluar," katanya kepada Asian News International.

Air India berkata, pihaknya mengikut protokol dan menjalankan pemeriksaan penuh pesawat itu selepas mendarat di Mumbai.

"Kala jengking itu akhirnya ditemukan dan pesawat itu difumigasikan," katanya.

Setakat ini, masih tidak jelas bagaimana haiwan itu naik atau sama ada kala jengking itu beracun.

Terdapat kira-kira lima kala jengking yang boleh membawa maut di India termasuk kala jengking Merah India daripada keluarga Buthidae.

Kala jengking itu adalah antara spesies paling maut dan berbahaya di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 10:48 AM