NEYMAR berbesar hati apabila Bolsonaro melawat yayasan miliknya. FOTO AFP
NEYMAR berbesar hati apabila Bolsonaro melawat yayasan miliknya. FOTO AFP
AFP

Brasilia: Neymar tersentuh dalam kempen pilihan raya presiden Brazil yang menyiarkan video di media sosial hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada Presiden Jair Bolsonaro kerana melawat yayasan kebajikan kanak-kanak miliknya.

Penyerang Paris Saint-Germain dan Brazil itu tidak terbabit dalam politik.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang kem Bolsonaro daripada memainkan video salah seorang bintang bola sepak terbesar di negara berkenaan ketika menentang bekas presiden berhaluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva (2003-2010), yang mendahului dalam pilihan raya itu.

"Helo, Presiden Bolsonaro... Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kunjungan hormat anda.

"Saya ingin berada di sana bersama anda, tetapi malangnya terlalu jauh... Saya harap anda menikmati lawatan anda ke yayasan itu, yang juga matlamat terbesar dalam hidup saya," kata Neymar, 30, di Instagram

Menteri Komunikasi, Fabio Faria dan anak lelaki senator Bolsonaro, Flavio segera menyiarkan semula video itu di Twitter.

Mesej itu hadir selepas Bolsonaro yang juga bekas kapten tentera, melawat yayasan Neymar Jr.

Ia diasaskan oleh bintang bola sepak itu pada 2014 yang menjalankan program pendidikan, kebudayaan dan sukan untuk 3,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di bandar tenggara Praia Grande, tempat Neymar dibesarkan.

Penyokong Bolsonaro menggunakan jersi kuning-hijau iaitu lambang pasukan kebangsaan Brazil sebagai simbol sokongan kepada presiden, bersama-sama dengan bendera Brazil.

"Mari kita semua memakai warna kuning dan hijau yang melambangkan jersi pasukan kebangsaan untuk mengundi kapten kita Ahad ini!" kata Faria di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 9:29 AM