AFP

Buenos Aires: Empat individu di sebuah klinik di wilayah barat laut Argentina, Tucuman, disahkan meninggal dunia akibat penyakit Legionnaires, jangkitan kuman yang agak jarang berlaku pada paru-paru.

Menteri Kesihatan Carla Vizzotti berkata, Legionnaires dikenal pasti sebagai penyebab utama radang paru-paru berganda yang mengalami demam panas, sakit badan dan masalah pernafasan.

Kematian mangsa, semuanya sejak Isnin, berlaku di sebuah klinik di bandar San Miguel de Tucuman.

Kematian terbaharu pada pagi Sabtu membabitkan lelaki berusia 48 tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

Seorang wanita berusia 70 tahun yang menjalani pembedahan di klinik itu turut meninggal dunia.

Tujuh lagi kes bergejala dikenal pasti, semuanya dari premis sama dan hampir kesemuanya membabitkan kakitangan klinik, kata pegawai wilayah.

"Daripada tujuh itu, empat masih dirawat di hospital, tiga daripadanya di bawah bantuan pernafasan, dan tiga berada di bawah pengawasan di rumah, dengan gejala klinikal yang kurang rumit," kata menteri kesihatan wilayah Luis Medina Ruiz pada hari Sabtu.

Penyakit itu yang pertama kali muncul pada mesyuarat veteran perang American Legion pada 1976 di bandar Philadelphia, Amerika Syarikat, dikaitkan dengan air yang tercemar atau sistem penyaman udara yang tidak bersih.

Apabila wabak di Tucuman pertama kali dikesan, doktor menguji pesakit untuk Covid-19, selesema dan hantavirus, tetapi menolak kesemua faktor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 10:07 AM