FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Buenos Aires: Individu ketiga meninggal dunia minggu ini di Argentina, akibat pneumonia atau radang paru-paru yang tidak dapat dijelaskan.

Setakat ini, Ia menjejaskan sembilan orang.

BBC melaporkan, semua kes tertumpu di sekitar klinik perubatan swasta di wilayah barat laut Tucuman.

Pihak berkuasa menolak kes berpunca akibat Covid-19 dan selesema biasa tetapi meneruskan pemeriksaan jangkitan lain.

Ujian ke atas bekalan air tempatan dan penyaman udara juga sedang dilakukan dalam usaha mencari punca kes berkenaan.

Mangsa ketiga ialah seorang wanita berusia 70 tahun yang dimasukkan ke sebuah klinik untuk menjalani pembedahan.

Doktor percaya dia mungkin tidak pernah dijangkiti penyakit pernafasan.

Mereka yang jatuh sakit dengan keadaan paru-paru adalah kakitangan perubatan di pusat itu.

Hubung kait mereka, sedang dalam siasatan.

Penyakit misteri itu meragut mangsa pertamanya dalam kalangan pekerja di klinik itu pada Isnin dan mangsa kedua, dua hari kemudian.

Kedua-duanya seperti wanita berusia 70 tahun itu, mempunyai keadaan kesihatan yang lain.

Dalam pada itu, BBC melaporkan enam pesakit pertama mula menunjukkan gejala antara 18 dan 23 Ogos.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Tucuman Luis Medina Ruiz berkata, Rabu lalu, pesakit diserang "keadaan pernafasan yang teruk dengan radang paru-paru dua hala... sangat serupa dengan Covid-19".

Gejala termasuk demam panas, sakit badan dan kesukaran bernafas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 11:51 AM