Agensi

Ohio: Berdepan hukuman penjara 194 tahun. Itu 'habuan' menanti pasangan kekasih di Amerika Syarikat (AS) yang tidak berhati perut mendera dua kanak-kanak.

Priscilla Meachem, 31, dan Elijah Waltz, 38, didakwa melakukan penderaan dengan memukul dan membiarkan dua kanak-kanak, berusia 10 dan 11 tahun kebuluran, selama empat bulan di sini.

Daily Star melaporkan, penyiasat mendakwa, kanak-kanak itu boleh mati kelaparan kerana dibiarkan kebuluran, antara Jun hingga Oktober lalu.

Kanak-kanak itu juga diikat dengan pita pelekat untuk mengelak mereka melarikan diri.

Lebih kejam, kepala kanak-kanak itu dibotakkan dan pasangan itu makan seperti biasa di depan mangsa.

Bercakap kepada Zanesville Times, detektif polis, Bryan Ruff menyifatkan nasib malang kanak-kanak itu kes penderaan paling teruk pernah dikendalikannya.

Menurut Ruff, kanak-kanak lelaki itu dipukul dengan kayu dan gitar selain didera pada alat sulitnya.

Akhbar itu melaporkan, pasangan terbabit yang tinggal bersama pada April berdepan senarai tuduhan panjang.

Meachem dan Waltz dituduh dengan sembilan serangan kejam, enam tuduhan penculikan dan tujuh tuduhan membahayakan kanak-kanak yang membawa hukuman penjara keseluruhan 194 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:01 AM