Ibu bapa (depan) kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera hingga mati di Skudai, kelmarin, tiba di Jabatan Perubatan Forensik, HSA di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Ibu bapa (depan) kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera hingga mati di Skudai, kelmarin, tiba di Jabatan Perubatan Forensik, HSA di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Adik lelaki kepada kanak-kanak yang disyaki didera hingga mati di Skudai kelmarin, dipercayai turut menjadi mangsa penderaan.

Perkara itu dimaklumkan keluarga kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berada di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Keluarga mangsa memberitahu pegawai JKM itu, selain kesan cedera pada kanak-kanak lelaki yang maut, adiknya yang berusia setahun juga mempunyai kesan cedera di badan, tangan, kaki dan muka.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Lee, 27, berkata, mangsa yang mesra dipanggil Ah Jie adalah kanak-kanak yang cergas dan aktif.

Dia berkata, kali terakhir dia bertemu kanak-kanak itu ialah pada Tahun Baharu Cina yang lalu.

"Abang saya bekerja sebagai tukang masak di Singapura manakala kakak ipar bekerja di Yong Peng, Batu Pahat.

"Mereka hantar dua anak mereka kepada lelaki terbabit kerana faktor jarak bekerja," katanya.

Dia turut memaklumkan, abang dan kakak iparnya biasanya akan pulang berjumpa anak mereka antara dua atau tiga hari sekali.

Usaha wartawan menemubual ibu dan bapa mangsa gagal apabila pasangan itu enggan ditemubual.

Difahamkan, mayat mangsa akan dibawa ke Yong Peng selepas selesai proses bedah siasat untuk disemadikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 4:16 PM