FOTO Agensi
FOTO Agensi
BERNAMA

Garowe: Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan beberapa lagi cedera di sebuah restoran di Somalia akibat serangan pengebom berani mati semalam, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai polis.

Serangan itu berlaku berhampiran Lapangan Terbang Mogadishu di sebuah restoran popular yang sering dikunjungi pegawai kerajaan dan anggota keselamatan.

Pegawai polis di Mogadishu, Abdifatah Hassan memberitahu Agensi Anadolu, serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang.

Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 10 orang lagi cedera dalam serangan itu dan mereka dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap kerajaan Somalia Ismail Mukhtar Oronjo berkata, pengebom memasuki restoran itu lalu meletupkan dirinya.

Pegawai keselamatan bergegas ke lokasi kejadian dan melaksanakan kawalan keselamatan.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun baru-baru ini kumpulan al-Qaeda yang berpangkalan di Somalia, al-Shabaab, mengakui ada melancarkan serangan di negara itu, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:37 PM