Paxlovid keluaran Pfizer. FOTO Reuters.
Paxlovid keluaran Pfizer. FOTO Reuters.
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) "sangat menyarankan" penggunaan pil antiviral Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid kepada pesakit bergejala ringan namun, masih berisiko tinggi untuk dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memberi amaran "terlalu bimbang" berlaku ketidaksamaan dalam akses seperti yang terjadi kepada vaksin Covid-19, yang menyebabkan negara berpendapatan rendah dan sederhana dikebelakangkan.

Menurut pakar WHO dalam jurnal perubatan BMJ, gabungan nirmatrelvir dan ritonavir yang dirumus syarikat farmaseutikal gergasi Amerika Syarikat (AS) adalah "pilihan unggul" bagi rawatan orang tidak divaksinasi, warga emas atau orang yang lemah imun terhadap Covid-19.

Untuk pesakit sama, WHO turut mengemuka "syor bersyarat" terhadap penggunaan ubat antiviral remdesivir dihasilkan syarikat bioteknologi AS, Gilead yang sebelum ini tidak disarankan.

Penggunaan Paxlovid dicadangkan melebihi remdesivir dan pil molnupiravir dan antibodi monoclonal Merck.

"Rawatan oral Pfizer mencegah kemasukan ke hospital melebihi alternatif sedia ada, kurang kebimbangan terhadap kemudaratan berbanding molnupiravir, dan lebih mudah untuk diberikan daripada remdesivir dan antibodi intravena," kata pakar WHO.

Pengesyoran Paxlovid berdasarkan hasil dua ujian klinikal terhadap hampir 3,100 pesakit yang menunjukkan ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 85 peratus.

Ujian itu juga mencadangkan "tiada perbezaan ketara kematian" dan "kurang atau tiada risiko kesan buruk yang membawa kepada pemberhentian ubat."

Pengambilan ubat berkenaan dicadangkan ke atas pesakit berumur 18 tahun ke atas, tetapi tidak kepada wanita hamil atau menyusukan anak, selain mereka yang mempunyai risiko komplikasi rendah akibat penyakit, disebabkan kesannya minimum.

Tiada pendapat dikemukakan bagi pesakit yang bergejala teruk memandangkan kekurangan data.

Dalam pada itu, WHO menekankan masih terdapat batasan dalam rawatan antiviral tersebut.

"Ubat itu hanya boleh diberikan ketika penyakit masih dalam pengesanan awal," katanya.

Ini bermakna pesakit perlu diuji positif sesegera mungkin untuk membolehkan ubat diberikan doktor, yang mana ia boleh menimbulkan kekangan buat negara berpendapatan rendah dan sederhana, kata WHO.

Pesakit perlu mengambil pil Paxlovid dalam tempoh lima hari simptom, dan berlanjutan lima hari, sementara remdesivir boleh diambil antara tujuh hari bergejala tetapi pengambilannya secara intravena selama tiga hari.

Selain itu WHO menyeru Pfizer supaya menyediakan pakej harga dan tawaran lebih telus buat Paxlovid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 12:36 PM