Gamabr daripada rakaman video menunjukkan anggota TNI terbaring selepas diserang kumpulan bermotosikal di Bukit Tinggi dekat Padang. Foto Agensi
Gamabr daripada rakaman video menunjukkan anggota TNI terbaring selepas diserang kumpulan bermotosikal di Bukit Tinggi dekat Padang. Foto Agensi
Agensi

Padang: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang remaja yang juga geng motosikal Harley-Davidson Owner Group kerana disyaki menyerang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Bukit Tinggi dekat sini.

Ketua Polis Bukit Tinggi Dody Prawiranegara yang mengesahkan kejadian itu hari ini berkata, suspek berkenaan berusia 18 dan 49 tahun.

Menurutnya, kedua anggota TNI berkenaan sudah membuat laporan kepada pihak polis.

"Siasatan ketika ini mendapati hanya dua orang yang terbukti melakukan jenayah terbabit.

"Kami hanya bertindak hasil laporan yang dibuat oleh mangsa ke balai polis dan berdasarkan maklumat hanya dua orang terbukti melakukannya," kata Dody.

Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Artikel 170 Kanun Jenayah kerana memukul.

Sebelum ini, tular rakaman video yang menunjukkan dua anggota TNI menjadi mangsa geng konvoi kelab Harley-Davidson.

Video berkenaan menunjukkan kejadian itu berlaku di kawasan hadapan kedai dan difahamkan berlaku pada 5 petang semalam.

Ketika kejadian, kedua anggota berkenaan sedang melalai Jalan Hamka, Guguk Panjang, Bukit Tinggi.

Mereka kemudiannya dipotong oleh kumpulan terbabit hingga menyebabkan motosikal anggota berkenaan hampir terbabas dihimpit.

Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran hinggalah kedua anggota itu diserang.

Dalam video yang tular, beberapa orang dengan jaket kulit dan seluar jeans dilihat memukul tentera TNI yang tidak mengenakan uniform itu.

Pihak polis yang kebetulan berada di lokasi cuba campur tangan tetapi tidak diendahkan kumpulan berkenaan dan terus menyerang anggota TNI yang sudah terbaring.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 12:42 PM