Gambar fail AFP.
Gambar fail AFP.
AFP

Washington: Bekas pengumpul dana utama Presiden Donald Trump didakwa atas tuduhan melobi kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menggugurkan siasatan terhadap skandal rasuah 1MDB Malaysia dan mengusir jutawan China dalam buangan.

Elliot Broidy didakwa di Mahkamah Persekutuan di sini, terhadap pertuduhan melakukan konspirasi dengan bertindak sebagai ejen asing yang tidak berdaftar dan bersetuju mengambil jutaan dolar bagi melobi pentadbiran Trump.

Pertuduhan yang disiarkan kepada umum pada Khamis, mendakwa Broidy dilantik pada 2017 oleh pelabur asing dipercayai Low Taek Jho (Jho Low) untuk mendesak wakil AS bagi menghentikan siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak.

Skandal itu membabitkan kecurian lebih $4.5 bilion daripada dana 1MDB dan Low didakwa bertanggungjawab melarikan serta menyembunyikan dana berkenaan.

Ketika kejadian, Broidy adalah naib pengerusi kewangan bagi Jawatankuasa Kebangsaan Republikan selepas berjaya menjadi pengumpul dana terbesar Trump dalam kempennya pada 2016.

Menurut pertuduhan itu lagi, selepas direkrut Low, Broidy secara peribadi meminta Trump mengajak Najib bermain golf ketika lawatan pemimpin itu di AS pada September 2017, dan misinya untuk memberi Najib peluang 'menyelesaikan isu 1MDB' dengan pemimpin AS.

Sesi golf itu tidak berlangsung dan Low pada 2018 didakwa menggelapkan dana 1MDB. Ahli perniagaan itu kini dalam buruan serta gagal dikesan.

Terdahulu pada May 2017, Low memperkenalkan Broidy dengan seorang menteri China dan berbincang mengenai hasrat Beijing supaya Washington mengusir seorang taikun republik berkenaan yang dalam buangan.

Kenyataan itu tidak menyebut nama individu berkenaan tetapi difahamkan adalah Guo Wengui, seorang ahli perniagaan berhaluan kiri yang dikenali.

Berdasarkan Wall Street Journal, wakil rasmi China terbabit pertemuan itu adalah Sun Lijun, yang ketika tempoh berkenaan adalah timbalan menteri keselamatan.

Dakwaan tersebut menggambarkan tindakan lobi Broidy terhadap Rumah Putih, Jabatan Kehakiman dan Penguatkuasaan Undang-Undang bagi pihak China termasuk hubungan, bukan perbincangan langsung dengan Trump.

Objektif konspirasi lobi adalah 'menjana jutaan dolar dengan memanfaatkan akses dan pengaruh Broidy dalam pentadbiran dan Presiden'.

Pertuduhan berkenaan selepas beberapa minggu rakan kongsi utama Low dan Broidy iaitu ahli perniagaan wanita, Nickie Mali Lum Davis mengaku bersalah terhadap pertuduhan melobi secara haram dalam kes 1MDB dan Guo.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 11:41 AM