Prakazrel ‘Pras Michel’. FOTO Reuters.
Prakazrel ‘Pras Michel’. FOTO Reuters.
Reuters

Washington: Penyanyi rap, Prakazrel 'Pras Michel' mendakwa dia dibayar AS$20 juta (RM88.6 juta) oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bagi membantunya bergambar dengan bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Ahli kumpulan Fugees itu memberi keterangan terbabit di mahkamah semalam bagi membela diri.

Dia menghadapi tuduhan konspirasi jenayah, melobi bagi negara luar dan mengenakan bayaran kempen dengan berkomplot bersama Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden Donald Trump.

Di hadapan juri di Washington, pemenang anugerah Grammy itu berkata, Jho Low yang dituduh menyeleweng AS$4.5 bilion (RM20 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mengarahkannya menggunakan wang bagi bergambar itu untuk derma kempen.

Michel berkata, dia menggunakan sebahagian wang berkenaan untuk tiga rakan menghadiri majlis kutipan dana AS$40,000 (RM1.8 juta) untuk Obama.

"Apabila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik?," soal Pendakwa Raya Persekutuan, John Keller di mahkamah Washington.

"Tidak," jawab Michel, mengingkari jangkaan dengan memberi keterangan pada perbicaraan itu.

"Sebaik sahaja dia memberi saya wang itu, ia adalah budi bicara saya bagaimana saya membelanjakan wang itu kerana ia adalah wang saya," katanya.

Dia juga menggambarkan dana daripada Jho Low sebagai 'wang percuma'.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi warga asing menyumbang kepada kempen pemilihan di AS, termasuk menggunakan orang ketiga bagi membuat sumbangan seumpamanya.

Michel dituduh bersubahat dengan Jho Low dalam tiga skim, yang menurut pendakwa raya, dia dibayar jutaan dolar.

Di bawah tuduhan pertama, pendakwa berkata, Michel melanggar Undang-Undang Pilihan Raya Persekutuan dengan menyalurkan sekitar AS$2 juta (RM8.8 juta) daripada Jho Low kepada dana kempen Obama pada 2012, dengan menipu mengenai sumber sumbangan berkenaan.

Michel juga dituduh cuba mempengaruhi Jabatan Keadilan era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayah terhadap Jho Low berhubung skandal 1MDB dan didakwa cuba melobi kerajaan AS bagi pihak kerajaan China, untuk menghantar pulang ahli perniagaan China Guo Wengui kembali ke negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 11:23 AM