MICHEL didapati bersalah atas derma politik haram, pengubahan wang haram dan pertuduhan berkaitan dalam skandal 1MDB. FOTO Reuters
MICHEL didapati bersalah atas derma politik haram, pengubahan wang haram dan pertuduhan berkaitan dalam skandal 1MDB. FOTO Reuters
AFP

Washington: Penyanyi rap era 90-an juga ahli kumpulan trio The Fugees, Pras Michel didapati bersalah pada Rabu kerana membantu menyalurkan wang daripada penipuan berbilion dolar membabitkan dana dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Penyanyi yang nama sebenarnya Prakazrel Samuel Michel itu didapati bersalah atas derma politik haram, pengubahan wang haram dan pertuduhan berkaitan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Pada awal 2010, Jho Low yang kini dipercayai bersembunyi di China membantu menyalurkan berbilion dolar yang dicuri daripada dana 1MDB ke dalam hartanah mewah AS, seni halus, dan filem Hollywood seperti DiCaprio's Wolf of Wall Street.

Michel dituduh membantu Low secara rahsia menyalurkan sebahagian daripada wang itu ke dalam kempen pemilihan semula presiden ketika itu Barack Obama pada 2012 melalui syarikat tidak aktif dan menyembunyikan asal usul sumbangan itu.

Dia juga dituduh menyertai usaha melobi rahsia dengan seorang pembiaya kanan Republikan pada 2017 untuk membantu kerajaan China mendapatkan kepulangan jutawan pembangkang Guo Wengui, yang mempunyai hubungan rapat dengan ahli strategi politik presiden Donald Trump, Steve Bannon.

Guo sejak itu ditangkap atas dakwaan menipu pelabur.

Michel, 50, didapati bersalah atas semua 10 pertuduhan yang didakwa.

Menurut Jabatan Kehakiman, Michel berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi pertuduhan paling berat dalam kes itu.

Selain pengubahan wang haram dan pencabulan kewangan kempen, dia didakwa bertindak sebagai ejen tidak berdaftar untuk China, penyembunyian dan penyimpanan rekod palsu, pengubahan saksi dan kenyataan palsu.

Kesnya menarik perhatian kerana turu terbabit sama selepas DiCaprio dihadapkan ke mahkamah persekutuan Washington pada awal April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 12:03 PM