JHO Low.
JHO Low.
Agensi

Petaling Jaya: Ahli perniagaan yang dikehendaki kerana pembabitannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai berada di bawah tahanan rumah di Shanghai, menurut pengarang bersama buku Billion Dollar Whale.

Bradley Hope menerusi Twitter berkata, dia percaya Low dikenakan tahanan rumah di bandar China itu.

"China menahan Low dengan ketat kerana rundingan dengan Malaysia tetapi juga kerana pelanggannya dalam perkhidmatan pengintip ditangkap, dan rakan perniagaan di CCCC (Syarikat Pembinaan Komunikasi China) digulingkan," katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Hope berkata, Jho Low berubah daripada menjadi 'aset risikan' kepada 'liabiliti' selepas bekas perdana menteri Najib Razak tewas pada Pilihan Raya Umum 2018.

Semalam, Al Jazeera melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya bahawa Low 'bersembunyi' di Macau.

Low yang dipercayai dalang skandal 1MDB sudah didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas dakwaan dia mendalangi kecurian AS$4.5 bilion daripada dana 1MDB.

Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Kee Kok Thiam, ahli perniagaan dipercayai sekutu Low itu dilaporkan meninggal dunia akibat angin ahmar, selepas pulang ke Malaysia, baru-baru ini.

Sumber SPRM mengesahkan bahawa Kee kembali ke Malaysia pada 3 Mei selepas lima tahun di luar negara.

Menurut Al Jazeera, Kee ketika disoal siasat SPRM, mengesahkan dia bertemu Jho Low dan beberapa 'pelarian' 1MDB lain - termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal - di Macau.

Selain itu, Kee juga didakwa memberitahu bahawa Low juga mengarahkannya "tidak pulang ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 10:58 AM