ANIES Baswedan. FOTO Agensi.
ANIES Baswedan. FOTO Agensi.
Agensi

JAKARTA: Arahan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Jakarta dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 10 September ini.

Kompas.com melaporkan, Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengumumkan perkara itu melalui status yang dimuatnaik di Instagramnya @aniesbaswedan, malam tadi.

"Arahan PSBB fasa satu di ibu negara dilanjutkan selama 14 hari dari 28 Ogos hingga 10 September," katanya.

Beliau turut menekankan mengenai protokol kesihatan seperti menggunakan pelitup muka, mencuci tangan dengan air dan sabun serta menjaga jarak bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19, kita perlu saling ingat-mengingati dan mematuhi arahan PSBB. Ayuh, kita sama-sama memastikan protokol kesihatan dilaksanakan dengan lebih ketat," katanya.

Arahan PSBB bermula pada 5 Jun hingga 2 Julai lalu, sebelum dilanjutkan selama dua minggu sebanyak empat kali iatu dari 3 Julai hingga 27 Ogos.

Berdasarkan laporan Kompas.com, jumlah kes positif Covid-19 di Jakarta masih tinggi sepanjang tempoh arahan PSBB fasa keempat.

Semalam, jumlah kes positif Covid-19 di ibu negara seramai 820 orang, dan pertambahan itu adalah yang tertinggi sejak wabak ini dikesan di Jakarta.

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Jakarta hingga semalam, adalah 36,462 orang, yang mana 28,288 dilaporkan sembuh.

Sebanyak 1,147 kes meninggal dunia, manakala 7,027 kes masih dirawat dan dikuarantinkan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 9:15 AM