GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Jakarta: Berikutan munculnya segelintir warga Indonesia yang tidak percaya bahawa Covid-19 benar-benar wujud, ia menyebabkan sebahagian warga republik ini enggan mengikut protokol kesihatan ditetapkan kerajaan sehingga jumlah kes jangkitan baharu terus meningkat dengan angka lebih 4,000 dicatatkan setiap hari.

Berdasarkan laporan Jakarta Post, Indonesia mencatatkan 4,465 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini membawa kepada jumlah keseluruhan 257,388 kes di seluruh negara.

Sejak Isnin lalu, jumlah kes baharu melebihi angka 4,000 dicatatkan setiap hari.

Sekurang-kurangnya 9,977 individu meninggal dunia setakat ini.

Jakarta mencatatkan jumlah kes tertinggi hari ini dengan 1,133 kes walaupun melaksanakan semula Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) sejak minggu lalu.

Berdasarkan survei dijalankan Kementerian Kesihatan, ia mendapati terdapat warga Indonesia tidak percaya kewujudan Covid-19 yang menyebabkan mereka memandang ringan protokol kesihatan ditetapkan kerajaan.

Justeru, pihak jawatankuasa Covid-19 nasional membentuk unit 'perubahan tingkah laku' bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya virus berkenaan.

Ketua jawatankuasa, Doni Monardo berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan di Jakarta terlebih dahulu, sebelum dibawa ke wilayah lain.

"Lima unit perubahan tingkah laku yang terdiri daripada 100 sukarelawan dikerahkan ke lima kawasan di ibu kota untuk memaklumkan orang ramai mengenai virus dan menekankan perlunya mematuhi protokol kesihatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:03 PM