ORANG ramai mengunjungi pusat beli-belah di Medan, Indonesia. FOTO AFP
ORANG ramai mengunjungi pusat beli-belah di Medan, Indonesia. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Tanda pagar 'Indonesia Terserah!' kini menjadi bualan warganet di Indonesia kerana ada yang mengaitkannya dengan kekecewaan kakitangan perubatan terhadap sikap orang awam yang tidak mengambil serius bahaya pandemik Covid-19.

Portal Suara melaporkan, Pengerusi Rangkaian Doktor Muda Indonesia, Andi Khomaeni Takdir Haruni berkata, tanda pagar itu sebenarnya bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya Covid-19.

"Masyarakat perlu bersatu memerangi pandemik ini dengan mematuhi protokol kesihatan," katanya.

Tanda pagar berkenaan muncul selepas orang ramai dilihat melanggar arahan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB).

Andi berkata, kakitangan perubatan yang bertugas merawat pesakit Covid-19 dilihat kepenatan kerana bekerja tanpa henti.

"Doktor dan kakitangan perubatan lain berjuang di hospital. Kami adalah manusia biasa," katanya dalam satu wawancara.

Namun, katanya tanda pagar 'Terserah Indonesia' itu bukan petanda barisan hadapan sudah berputus asa sebaliknya hanya meluahkan kekesalan.

Bernama melaporkan, menurut Ketua Umum Ikatan Doktor Indonesia (IDI), Daeng M Faqih, seperti dipetik media tempatan, seramai 25 doktor meninggal dunia ketika menjalankan tugas akibat dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 9:40 AM