Syafie sudah setahun bercinta dengan Aishah. FOTO IG Syafie Naswip
Syafie sudah setahun bercinta dengan Aishah. FOTO IG Syafie Naswip
Norhayati Nordin


"TERIMA kasih, doakan yang baik-baik buat hubungan saya dan teman wanita, Aishah Azman. Alhamdulillah, sudah setahun kami serius bercinta dan ada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

"Namun, soal jodoh ini Allah SWT yang tentukan dan kami berserah pada takdir, " kata pelakon Syafie Naswip, 27.

Syafie dikenali menerusi filem Mukhsin berkata dia selesa rapat dengan Aishah, 23, yang juga adik kepada pelakon Afiq Muiz.

"Apapun, untuk melangkah ke fasa lebih jauh seperti perkahwinan, sudah pasti perlu melalui prosesnya.

"Namun, buat masa sekarang kami lebih utamakan menjaga hati keluarga kedua belah pihak," jelasnya.

Hubungan percintaan Syafie dan Aishah bukan lagi rahsia kerana masing-masing sudah berterus-terang.

Malah, Syafie mahu pun Aishah, sering memuat naik foto mesra bersama di Instagram (IG) dengan kapsyen menarik.

Bahkan, rata-rata pengikut IG pasangan itu memberikan sokongan dan maklum balas positif terhadap hubungan yang dijalin.

Perkenalan awal pasangan kekasih itu bermula di laman sosial, IG pada 2015.

Pertengahan tahun lalu mereka sudah sedia mengumumkan hubungan dijalin kerana semakin serasi dan selesa bersama.

Mengulas mengenai sikap Aishah yang berjaya menambat hatinya, Syafie berkata, gadis itu bukan seorang yang berpura-pura dan sentiasa menjadi dirinya.

Aishah yang juga pelakon, pernah membintangi drama seperti Cinta Hati Batu, Pengantin 100 Hari di TV3 dan terbaru, Isteri Dalam Sangkar di Hypp TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 9:14 PM