PRESIDEN Venezuela, Nicolas Maduro (tengah) bersama isterinya, Cilia Flores (kanan) di atas bot amfibia ketika latihan ketenteraan di sebuah pangkalan tentera laut, semalam. - FOTO via AFP
PRESIDEN Venezuela, Nicolas Maduro (tengah) bersama isterinya, Cilia Flores (kanan) di atas bot amfibia ketika latihan ketenteraan di sebuah pangkalan tentera laut, semalam. - FOTO via AFP
Agensi

CARACAS: Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan rejimnya masih gagal untuk mengeluarkan simpanan emas bernilai AS$1.2 bilion (RM5 bilion) dari Bank of England selepas berusaha sejak tahun lalu.

Menurut laporan Bloomberg, pegawai Maduro berusaha mengeluarkan emas terbabit yang dideposit di bank pusat Britain itu sebagai rizab asing.

Bank of England enggan mengulas mengenai aset Venezuela itu namun menyatakan ia menyediakan perkhidmatan perbankan, termasuk deposit emas untuk sejumlah besar pelanggan.

Reuters melaporkan, pemimpin pembangkang, Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara, meminta kerajaan Britain menyekat rejim Maduro daripada mendapat emas berkenaan.

Guaido sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri Britain, Theresa May dan Gabenor Bank of England, Mark Carney, menyatakan rejim Maduro akan menjual emas terbabit dengan hasilnya diserah kepada perbendaharaan negara bagi membiayai perjuangan mereka.

Sementara itu, AFP melaporkan, Maduro, menolak kata dua Eropah yang mahukannya mengadakan pilihan raya baru dalam masa lapan hari jika tidak mahu Guaido diiktiraf sebagai presiden sementara.

Kelmarin, Sepanyol, Britain, Perancis, Belanda dan Jerman memberi amaran akan mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara melainkan Maduro mengadakan pilihan raya dalam masa lapan hari.

“Mereka perlu menarik balik amaran itu. Tiada siapa boleh memberi kami kata dua.

“Venezuela tidak terikat dengan Eropah,” katanya dalam temuramah dengan CNN Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:04 AM