FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

New Delhi: Seorang lelaki maut ditembak selepas menjadikan 23 kanak-kanak sebagai tebusan di majlis ulang tahun kelahiran pertama anaknya di Uttar Pradesh, di sini, hari ini.

Lelaki yang dikenali sebagai Subhash Batham dikatakan hadir ke majlis berkenaan selepas dibebaskan sementara atas jaminan polis atas tuduhan membunuh.

Berang dengan tindakan 'gila' itu, penduduk yang sudah berkumpul di luar rumah berkenaan berjaya menahan isteri suspek sebelum memukulnya sehingga mati selepas cuba melarikan diri.

Suspek lelaki terbabit mendesak pihak berkuasa melepaskan dia dari tuduhan membunuh selain meminta wang tebusan sebanyak 10 juta Rupee (kira-kira RM572,438) untuk setiap kanak-kanak berusia seawal enam bulan itu dibebaskan.

Pegawai polis, Amit Mishra berkata, suspek melepaskan beberapa das tembakan dari dalam rumah dan mencederakan beberapa orang yang berada di luar.

"Polis cuba untuk berunding dengan suspek namun dia enggan. Apa yang menjadi keutamaan adalah keselamatan mangsa yang menjadi tebusan.

"Pasukan serbuan kemudiannya masuk menerusi pintu belakang dan berjaya menembak mati suspek, manakala isterinya disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan," katanya.

Media tempatan pula melaporkan, pasukan komando di Farrukhabad sudah sedia untuk diterbangkan ke lokasi kejadian sekiranya suspek bertindak lebih ganas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 4:08 PM