ORANG awam  menunjukkan tangan yang tidak bersenjata ketika dibenarkan keluar dari kawasan kejadian. - Daily Mail
ORANG awam menunjukkan tangan yang tidak bersenjata ketika dibenarkan keluar dari kawasan kejadian. - Daily Mail
AFP

Paris: Seorang suspek pengganas bersenjatakan Kalashnikov menembak mati seorang anggota polis dan mencederakan dua yang lain sebelum ditembak mati dalam serangan di Champs Elysees, Paris yang diakui dilaksanakan Daish, hanya beberapa hari menjelang pilihan raya presiden negara itu.

Penyerang melepaskan tembakan menggunakan senjata automatik terhadap van polis di laluan terkenal dunia itu kira-kira jam 9 malam (waktu tempatan) menyebabkan pengunjung termasuk pelancong asing bertempiar menyelamatkan diri.

Dia mati dalam kejadian berbalas tembakan ketika cuba melarikan diri selepas membunuh seorang anggota polis dan mencederakan dua yang lain hanya beberapa ratus meter dari monumen Arc de Triomphe.

Dalam satu kenyataan disiarkan agensi propaganda Daish, Amaq, kumpulan itu mendakwa penyerang berkenaan ‘pejuangnya.’

Rakaman dramatik menunjukkan saat polis mengejar dan menembaknya mati, manakala senapang patah dan pisau ditemui di dalam kereta Audi dipandunya.

Penyerang dikenal pasti sebagai lelaki tempatan, Karim Cheurfi, 39, ditahan pada Februari lalu atas tuduhan merancang membunuh polis tetapi dibebaskan kerana ketiadaan bukti.

Dia pernah didapati bersalah atas tiga tuduhan cubaan membunuh termasuk dua membabitkan polis pada 2005.

Sementara itu, suspek kedua warga Belgium yang diburu berhubung kejadian itu menyerah diri kepada polis negara berkenaan, kata kementerian dalam negeri Perancis, semalam.

Kesan kejadian itu terhadap pilihan raya Ahad ini belum dapat dijangka tetapi pemimpin berhaluan kanan Marine Le Pen, saingannya Emmanuel Macron dan Francois Fillon, membatalkan acara kempen yang dirancang semalam.

Sehingga kini, tinjauan menunjukkan pengundi lebih bimbang mengenai kekurangan pekerjaan dan kuasa beli berbanding keganasan atau keselamatan.

Namun, penganalisis menganggap kejadian terbaru ini mampu mengubah pandangan itu.

Sementara itu, Presiden Perancis Francois Hollande menjanjikan pemantauan keselamatan ditingkatkan sepanjang proses pilihan raya.

Champs Elysees yang terletak di tengah-tengah Paris dan dipenuhi kedai serta restoran disekat polis bersenjata, manakala stesen kereta api metro berhampiran turut ditutup selepas kejadian.

Pengurus restoran Choukri Chouanine berkata: “Kami menyembunyikan pelanggan di dalam bilik bawah tanah.”

Sementara itu, jurucakap kementerian luar memuji kepantasan polis mematahkan serangan dan membunuh penyerang itu seterusnya menghindari lebih banyak orang menjadi mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:06 AM