ROCK Wallaby menerima bantuan lobak merah. FOTO Agensi
ROCK Wallaby menerima bantuan lobak merah. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Nasib ribuan haiwan dan hidupan liar di sekitar kawasan kebakaran hutan, dekat sini mendapat perhatian kerajaan New South Wales (NSW) yang memberi bantuan dengan menjatuhkan makanan dari helikopter.

Daily Mail melaporkan, dianggarkan 2,200 kilogram (kg) sayuran seperti lobak merah dan keledek dijatuhkan kepada haiwan terbabit menerusi misi ‘Operation Rock Wallaby’.

Menteri Tenaga dan Alam Sekitar NSW, Matt Kean turut memuat naik dua naik gambar berkaitan misi berkenaan menerusi Twitter miliknya, semalam.

Antara yang menarik perhatian pengikutnya adalah gambar menunjukkan seekor Rock Wallaby menikmati lobak merah dengan kapsyen ‘pelanggan yang gembira’.

“Rock Wallaby terselamat tetapi terbiar dengan sumber makanan terhad selepas kebakaran berlaku di habitatnya.

“Haiwan berkenaan berada dalam tertekan dan kehidupannya tentu bertambah sukar jika tidak diberikan bantuan.

“Pemantauan akan terus dilakukan antaranya dengan meletakkan kamera untuk memantau bilangan haiwan serta makanan di kawasan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan Haiwan Australia menggunakan pesawat untuk menghantar bekalan makanan kepada hidupan liar yang cedera di daerah Victoria hasil sumbangan orang ramai.

Australia kini berdepan kebakaran hutan terburuk sejak September tahun lalu, dengan negeri NSW di Pantai Timur menjadi lokasi paling terjejas.

Dilaporkan lebih 100 kebakaran hutan berlaku di NSW dengan 2,000 rumah musnah, manakala 27 kematian dilaporkan sejak September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 2:45 PM