HUGHES bersama Zuckerberg ketika di Harvard pada tahun 2004. Foto Rick Friedman.
HUGHES bersama Zuckerberg ketika di Harvard pada tahun 2004. Foto Rick Friedman.
Reuters

SAN FRANCISCO: Pengasas bersama Facebook Inc yang juga rakan sebilik Mark Zuckerberg, Chris Hughes menggesa syarikat rangkaian media sosial itu dipecahkan, menerusi pandangan yang dilontarkan dalam artikel di New York Times.

“Kita adalah sebuah negara yang mempunyai tradisi menyekat monopoli tidak mengambil kira sama ada pemimpin syarikat ini mempunyai niat baik sekali pun. Kuasa Mark di luar jangkaan dan tidak bersifat Amerika,” tulisnya dalam artikel itu.

Facebook memiliki rangkaian media sosial terbesar dengan lebih 2 bilion pengguna di seluruh dunia dan ia memiliki aplikasi WhatsApp, Messenger dan Instagram yang masing-masing digunakan lebih 1 bilion pengguna.

Hughes mengasaskan Facebook di Harvard pada 2004 bersama Zuckerberg yang juga Ketua Pegawai Eksekutif serta Dustin Moskovitz sebelum keluar pada 2007.

“Saya sudah tidak lagi bekerja di syarikat itu dalam tempoh satu dekad selepas 15 tahun menubuhkan Facebook di Harvard. Namun, saya berasa marah dan bertanggungjawab,” katanya yang pernah menjadi pakar strategi Barack Obama dalam kempen presiden 2008.

Facebook didakwa berkongsi maklumat milik 87 juta pengguna secara tidak wajar dengan syarikat perundingan politik Britain, Cambridge Analytica.

Menurut Hughes, kali terakhir dia bertemu rakannya itu adalah pada musim panas 2017 iaitu beberapa bulan sebelum skandal Cambridge Analytica terbongkar.

“Mark insan yang baik tetapi saya begitu marah kerana fokusnya untuk berkembang menyebabkan dia sanggup mengorbankan soal keselamatan dan hormat demi mendapat klik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 11:10 PM